
Terbitan hak AirAsia kurang langganan
KUALA LUMPUR,. AirAsia Group Bhd menerima penerimaan sah dan lebihan permohonan bagi 1.1 bilion sekuriti hutang Islam tidak bercagar boleh tukar boleh tebus (RCUIDS) di bawah terbitan haknya.
Ini mewakili 85.13 peratus daripada jumlah RCUIDS yang tersedia bagi langganan, kata RHB Investment Bank dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini sebagai mewakili lembaga pengarah.
Justeru, RCUIDS terkurang langganan sebanyak 14.87 peratus pada penutup penerimaan, lebihan permohonan dan pembayaran bagi terbitan hak pada 5 petang, 20 Disember 2021.
Ia membabitkan terbitan sehingga RM1.02 bilion dalam nilai nominal RCUIDS pada 75 sen setiap satu berdasarkan prinsip Syariah Murabahah (menerusi penyusunan Tawarruq) pada asas dua RCUIDS dengan waran bagi setiap enam saham AirAsia Group yang dipegang pada tarikh kelayakan
Bank pelaburan itu berkata, jumlah lebihan RCUIDS yang tersedia bagi peruntukan adalah sebanyak 281.75 juta.
“Memandangkan jumlah lebihan RCUIDS yang dimohon bernilai RM88.55 juta, lembaga memutuskan untuk memperuntukkan lebihan RCUIDS kepada semua pemegang saham dan/atau pembeli hak atau penerima pindahan yang memohon lebihan RCUIDS sepenuhnya,” katanya.
Syarikat itu berkata, baki RM193.2 juta RCUIDS yang tidak dilanggan akan dilanggan sepenuhnya oleh Penaja Jamin Bersama mengikut perjanjian penaja jaminan.
“Pemohon RCUIDS yang berjaya akan dikeluarkan dengan waran bagi asas satu waran bagi setiap dua RCUIDS yang dilanggan,” katanya.
–BERNAMA