Yasin Perlu Rawatan Psikiatri Segera – Peguam

Yasin Perlu Rawatan Psikiatri Segera – Peguam

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman yang kini ditahan di Penjara Sungai Buloh, Selangor perlu segera mendapatkan rawatan daripada pakar psikiatri.

Peguamnya, Yusmadi Yusoff berkata, dia telah berjumpa sendiri dengan Yasin, 47, Khamis lalu dan anak guamnya meminta rawatannya disegerakan.
Katanya, walaupun Yasin kelihatan sihat dari segi fizikal dan mendapat penjagaan rapi daripada pihak penjara, namun kesihatan mentalnya memerlukan pemerhatian pakar.

“Insya-Allah esok saya akan menulis surat rasmi kepada Pengarah Penjara Sungai Buloh untuk meminta perhatian daripada pihak penjara.
“Majistret juga mengarahkan pihak yang bertanggungjawab terhadap Yasin memberikan rawatan.

“Alhamdulillah, dia mendapat layanan yang baik di penjara dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pegawai penjara.

“Walaupun begitu, saya akan cuba mendapatkan rawatan sewajarnya yang dia dapat untuk disegerakan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini, hari ini.

Yusmadi menjelaskan selain Yasin, ahli keluarga komposer lagu Mimpi Laila sendiri telah merujuknya untuk memberikan rekod rawatan Yasin.

“Ia termasuk rawatan dengan pakar di Hospital Pantai dan beliau dan kami (pasukan peguam) sedang dalam proses mendapatkan rekod rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (kini dikenali sebagai Hospital Canselor Tuanku Muhriz) yang mana beliau telah dimasukkan hampir lebih. daripada dua minggu pada tahun 2009.

“Melalui Yasin, saya telah mendapat nama doktor yang dirawatnya kerana proses mendapatkan laporan ini perlu melalui prosedur termasuk mendapat kebenaran daripada pesakit kerana ia melibatkan rekod peribadinya,” katanya.

Mengulas lanjut, Yusmadi menjelaskan Yasin tidak berselindung mengenai penyakit yang dihidapinya kerana perkara itu sudah menjadi tumpuan umum seperti video atau berita sejak beberapa tahun lalu.

Sebelum ini, Yasin tidak dibenarkan diikat jamin oleh Mahkamah Sesyen dan Majistret atas dua pertuduhan mengedar dan menanam 17 pokok ganja di kediamannya di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3 Kota Damansara dan menetapkan 18 Mei depan untuk sebutan semula kes.

-Astro Awani

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )