Bursa dibuka rendah pada pagi

Bursa dibuka rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia meneruskan penurunan yang dialami semalam apabila dibuka rendah hari ini ketika sentimen pelabur kekal kurang memberangsangkan selepas penyusutan semalaman di Wall Street.

Pada 9.05 pagi ini, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada 1,603.22, susut 1.39 mata daripada 1,604.61 yang dicatat pada akhir dagangan semalam.

Indeks petunjuk utama itu dibuka susut 0.74 mata kepada 1,603.87.

Sentimen pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 270 berbanding 96 manakala 216 kaunter lain tidak berubah, 1,671 tidak diniagakan dan 12 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 232.23 juta bernilai RM85.87 juta.

Dalam nota tinjauannya, Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan pelabur untuk melakukan dagangan dalam sentimen menolak risiko berikutan prestasi negatif di Wall Street, terutama jualan ketara saham-saham teknologi susulan peningkatan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) menjelang pengumuman inflasi data negara maju itu yang berkemungkinan memberi impak terhadap saham-saham teknologi.

“Bagaimanapun, penurunan kes harian COVID-19 di bawah paras 10,000 di Malaysia sewajarnya menyokong pemulihan ekonomi, sekali gus memberi manfaat kepada sektor yang bertemakan pemulihan,” katanya.

Dari segi komoditi, harga niaga hadapan minyak sawit mentah melonjak melebihi RM6,000 manakala minyak mentah kembali ke paras di bawah AS$100 setong ketika pelabur menjangkakan penurunan permintaan daripada China susulan pelaksanaan sekatan akibat COVID-19 di negara itu.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank menokok satu sen kepada RM8.86, Petronas Chemicals naik 10 sen kepada RM10.30, Public Bank susut satu sen kepada RM4.66 manakala IHH Healthcare dan CIMB masing-masing tidak berubah pada RM6.40 dan RM5.33.

Bagi saham aktif, CSH Alliance dan Vortex menokok satu sen masing-masing pada 15 sen dan 17.5 sen, China Ouhua naik setengah sen kepada sembilan sen, ATA IMS meningkat 3.5 sen kepada 47 sen manakala VSolar tidak berubah pada satu sen.

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 turun 21.78 mata kepada 11,121.77, Indeks FBM Emas susut 23.59 mata kepada 11,464.36 dan Indeks FBM Emas Syariah turun 33.75 mata kepada 12,081.43, FBM 70 merosot 76.49 mata kepada 13,699.99 dan FBM ACE berkurangan 30.19 mata kepada 5,764.30.

Dari segi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.49 mata kepada 213.59, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 3.47 mata kepada 16,752.39 manakala Indeks Perladangan meningkat 23.24 mata kepada 8,498.20.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This