PERKESO dan MBPP tandatangani MoU perkukuh jaringan keselamatan sosial penjaja, peniaga kecil

HomeFeaturedBerita Semasa

PERKESO dan MBPP tandatangani MoU perkukuh jaringan keselamatan sosial penjaja, peniaga kecil

GEORGE TOWN,. Jurang perlindungan sosial di Malaysia kekal menjadi kebimbangan utama, apabila hanya 10 peratus atau 325,008 daripada 3.26 juta individ

8.5 JUTA PEKERJA KEKAL CARUM LINDUNG 24 JAM – PERKESO
Pindaan Akta 800 berkuat kuasa hari ini, beri manfaat lebih tujuh juta pencarum – PERKESO
PERKESO giat tarik penjaja, peniaga kecil carum Lindung Kendiri

GEORGE TOWN,. Jurang perlindungan sosial di Malaysia kekal menjadi kebimbangan utama, apabila hanya 10 peratus atau 325,008 daripada 3.26 juta individu bekerja sendiri aktif menyumbang kepada skim keselamatan sosial LINDUNG Kendiri.

Statistik sehingga 23 Januari 2026 menekankan keperluan mendesak untuk kerjasama rentas agensi bagi memastikan kesejahteraan sosioekonomi golongan rentan, termasuk peniaga kecil dan penjaja yang terdedah kepada risiko harian.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Dato’ Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata seramai 15,021 individu bekerja sendiri berdaftar di Pulau Pinang. Daripada jumlah ini, sektor penjaja di negeri itu mewakili 13.17 peratus atau 5,053 OBS daripada keseluruhan penjaja yang mencarum di seluruh negara.

“Menyedari keperluan kritikal ini, PERKESO telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi memperkukuh jaringan keselamatan sosial, khususnya dalam sektor penjaja dan peniaga kecil.

“MoU ini dijangka menjadi asas kepada 156 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara untuk memperkasakan ekonomi informal. Dengan sistem yang lebih tersusun, ekosistem perlindungan sosial negara boleh menjadi lebih mampan dan berdaya saing, sambil memastikan golongan bekerja sendiri tidak terpinggir daripada mendapat manfaat,” kata Mohammed Azman.

Majlis pemeteraian MoU telah diadakan di cawangan Pejabat PERKESO George Town kelmarin, antara Mohammed Azman mewakili PERKESO dan Datuk Bandar MBPP Dato’ Ir Rajendran P Anthony, serta disaksikan oleh EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi Hal Ehwal Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PERKESO Azirruan Arifin.

Mohammed Azman memuji komitmen MBPP sebagai cerminan sebenar prinsip bahawa keselamatan sosial adalah tanggungjawab bersama yang menuntut penyelarasan rapat antara agensi demi kesejahteraan komuniti setempat.

Beliau juga menegaskan bahawa caruman LINDUNG Kendiri tidak seharusnya dilihat sebagai beban kewangan, sebaliknya merupakan pelaburan dalam keselamatan diri yang boleh menjadi talian hayat ketika ditimpa musibah, termasuk dalam kalangan penjaja dan peniaga kecil.

“Sepanjang tahun lalu sahaja, PERKESO telah menyalurkan faedah berjumlah RM31.25 juta kepada 7,693 pencarum LINDUNG Kendiri di seluruh negara, termasuk 424 individu bekerja sendiri di Pulau Pinang yang menerima sokongan ketika menghadapi musibah,” jelas Mohammed Azman.