ASEAN dan Jepun capai kemajuan dalam kerjasama perkhidmatan udara

ASEAN dan Jepun capai kemajuan dalam kerjasama perkhidmatan udara

JAKARTA,. ASEAN dan Jepun mencapai kemajuan dalam rundingan mengenai perkhidmatan udara pada Mesyuarat Menteri Pengangkutan ASEAN dan Jepun ke-20 (ATM+Jepun), iaitu sebahagian daripada sesi Mesyuarat Menteri Pengangkutan ASEAN ke-28 di Bali, Indonesia baru-baru ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menerusi hantaran di Facebook pada Isnin berkata Mesyuarat ATM+Jepun hampir memuktamadkan Perjanjian Perkhidmatan Udara ASEAN-Jepun yang saling menguntungkan dengan tujuan untuk meningkatkan hubungan pengangkutan udara antara ASEAN dan Jepun.

Timbalan Menteri Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun Shoji Nishida mengetuai delegasinya dan mempengerusikan bersama mesyuarat itu dengan Menteri Pengangkutan Indonesia, Budi Karya Sumadi.

Malaysia menawarkan untuk meneruskan latihan Sistem Trafik Kapal kepada negara anggota ASEAN di Institut Latihan Maritim di Pelabuhan Klang, Selangor, kata Wee.

Ditubuhkan pada 2017, institut berkenaan menjadi platform penting dalam membantu mengetengahkan kapasiti individu dalam menjamin keselamatan dan keamanan maritim di rantau ini.

Program latihan di bawah Pelan Kerja Perkongsian Pengangkutan ASEAN-Jepun 2022-2023 yang disokong kerajaan Jepun membantu rantau ini dalam kerjasama pengangkutan ke ASEAN sejak 20 tahun lalu.

“Usaha Jepun telah menghasilkan rangka kerja Keselamatan Penerbangan yang membolehkan ASEAN dan Jepun bekerjasama untuk menambah baik dan melaksanakan langkah-langkah keselamatan dengan berkesan dalam dunia pasca COVID-19,” kata Wee.

Mengenai keselamatan maritim, beliau berkata Jepun telah menghasilkan buku panduan mengenai amalan terbaik untuk keselamatan pelabuhan yang akan menjadi panduan berguna kepada pengendali pelabuhan dalam membina keupayaan mereka bagi memastikan keselamatan kemudahan dan operasi pelabuhan di rantau ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )