Sijil kelahiran dengan ciri keselamatan terkini dikeluarkan tahun depan

Sijil kelahiran dengan ciri keselamatan terkini dikeluarkan tahun depan

PUTRAJAYA,. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mengeluarkan sijil kelahiran versi baharu bermula tahun depan yang mengandungi beberapa ciri keselamatan terkini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin (gambar).

Dalam sidang media selepas melancarkan reka bentuk baharu dokumen keselamatan sempena Hari Pendaftaran Negara Tahun 2022 di sini, Hamzah berkata ciri keselamatan baharu termasuk dilengkapi ‘watermark’ atau tera air pada sijil kelahiran itu adalah bagi mengelak berlakunya kes pemalsuan dokumen.

“Apabila dokumen itu dibawa kepada JPN, kita tahu ia sahih atau tidak. Sesiapa yang lahirkan anak tahun depan akan mendapat sijil kelahiran baharu,” katanya.

Hamzah berkata sijil kelahiran sedia ada masih boleh digunakan dan tidak perlu ditukar.

JPN dalam kenyataan sempena program itu memaklumkan 38 dokumen keselamatan jabatan itu antaranya sijil kelahiran dan daftar perkahwinan ditingkatkan ciri keselamatan bermula tahun depan bagi menjaga aspek ketulenan.

Menurut JPN antara ciri keselamatan baharu yang diperkenalkan ialah pada reka bentuk dokumen, kertas yang digunakan dan jenis dakwat untuk cetakan keselamatan.

Sementara itu, Hamzah berkata pegawai JPN akan digerakkan ke kawasan terjejas banjir menerusi program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) bagi membantu mangsa yang kehilangan dokumen pengenalan diri.

“Pegawai JPN bersiap sedia, kita jaga kepentingan rakyat… kalau dokumen pengenalan diri tiada macam mana ingin pergi mengundi,” katanya dan menambah dokumen seperti kad pengenalan penting untuk rakyat menjalankan tanggungjawab pada Pilihanraya Umum ke-15 nanti.

MEKAR adalah inisiatif JPN bagi menyantuni rakyat dalam menyediakan kemudahan perkhidmatan seperti pendaftaran kelahiran, kematian dan kad pengenalan serta khidmat nasihat terutama kepada penduduk di kawasan pedalaman serta luar bandar.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)