Bank Rakyat: perkasa usahawan “Hebatkan Perniagaan Malaysia”

HomeFeaturedBusiness

Bank Rakyat: perkasa usahawan “Hebatkan Perniagaan Malaysia”

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat mengambil langkah proaktif dalam memperkasa usahawan tempatan menerusi penyertaan strategiknya dalam Makkah Halal Forum 2026

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS
Bursa dibuka tinggi pada awal dagangan
Negara G7 bakal lepaskan 100 juta tong minyak dan bahan api diesel selepas harga melambung

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat mengambil langkah proaktif dalam memperkasa usahawan tempatan menerusi penyertaan strategiknya dalam Makkah Halal Forum 2026, selaras dengan aspirasi “Hebatkan Perniagaan Malaysia” oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, inisiatif ini menyaksikan bank tersebut membawa lima pelanggan korporat tempatan bagi meneroka peluang dagangan, menyertai sesi Business-to-Business (B2B) bersama pemain industri antarabangsa serta membina rangkaian strategik di pasaran Timur Tengah.

“Melalui penyertaan ini, Bank Rakyat bertindak sebagai pemudah cara yang menghubungkan usahawan tempatan kepada peluang dagangan global, rakan strategik dan pasaran bernilai tinggi, sekali gus mempercepatkan penembusan produk Malaysia ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau menambah bahawa bank menjangkakan inisiatif ini berpotensi menjana jualan eksport sehingga RM2 bilion, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam industri halal global serta membuka peluang yang lebih luas kepada usahawan tempatan.

Lima syarikat yang terpilih ialah Ayamas Integrated Poultry Industry Sdn Bhd, Jaman Tory Food Industries, Agro 19 Berhad, Ramly Food Processing Sdn Bhd dan A&A Empire Sdn Bhd (Bokitta).

QSR Trading Sdn Bhd, pengendali jenama Ayamas, berkata inisiatif ini akan menjadi platform untuk mempamerkan portfolio jenama di bawah bahagian pemasarannya termasuk Ayamas, Ayamas Kitchen, Life, Kewpie, Fatboi dan Lactima.

Syarikat itu juga merancang melancarkan beberapa produk baharu berasaskan makanan laut sejuk beku, serta kategori tepung dan kentang goreng pada tahun ini bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat.

Jaman Tory Food Industries berkata penyertaannya dalam Makkah Halal Forum 2026 melengkapkan siri ekspo antarabangsa yang disertainya selepas Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) dan Gulfood Dubai.

Syarikat itu kini mempunyai pengedar eksklusif dan rakan strategik di Dubai dan melihat forum tersebut sebagai peluang untuk memperluas bekalan produk pesnya ke pasaran Arab Saudi.

Ia juga merancang untuk memeterai perjanjian dengan Taj Food Industries bagi membekalkan produk kepada jemaah haji 2026.

Sementara itu, A&A Empire Sdn Bhd (Bokitta) menyatakan keterbukaannya untuk meneroka kolaboratif strategik bersama pemain industri dan institusi kewangan bagi memperkukuh jenama tempatan.

Syarikat itu turut merakamkan penghargaan kepada Bank Rakyat atas komitmen berterusannya dalam menyokong pertumbuhan usahawan tempatan.

Agro 19 Berhad berkata, penyertaannya membuka ruang untuk memperluas kehadiran pasaran, khususnya bagi produk vegetable ghee dan minyak sawit di Arab Saudi.

Syarikat itu juga merancang menubuhkan kemudahan pemprosesan di negara berkenaan bagi mengukuhkan penembusan ke pasaran Timur Tengah dan Afrika.

Ia menyifatkan inisiatif Bank Rakyat sebagai amat signifikan dalam membantu syarikat tempatan berkembang ke luar negara.

Ramly Food Processing Sdn Bhd pula menyatakan bahawa Makkah Halal Forum 2026 merupakan langkah strategik dalam membina rangkaian baharu bagi sektor pembuatan makanan sejuk beku halal terkenal Malaysia di pasaran Timur Tengah.

Syarikat itu berkata, pihaknya akan memanfaatkan sepenuhnya platform tersebut untuk mendapatkan rakan niaga baharu, meningkatkan inovasi produk serta memastikan pematuhan terhadap piawaian dan akreditasi eksport antarabangsa.

Makkah Halal Forum 2026 telah berlangsung dari 14-16 Februari di Makkah Chamber for Exhibitions and Events Centre, Arab Saudi, dengan tema “Halal: A Professional Industry.”