KUANTAN,. Kerajaan Negeri Pahang menerima peruntukan RM2.1 juta daripada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) bagi mengiktiraf tiga piha
KUANTAN,. Kerajaan Negeri Pahang menerima peruntukan RM2.1 juta daripada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) bagi mengiktiraf tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai bandar mampan, tahun depan.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri akan melaksanakan usaha yang terbaik untuk mempercepatkan pengiktifaran bagi ketiga-tiga PBT berkenaan.
“Saya rasa begitu bangga kerana lapan daripada 11 PBT telah dinobatkan sebagai bandar mampan. Tiga lagi, insya-Allah, akan kita usahakan yang terbaik.
“Kita akan mempercepatkan supaya kesemuanya mencapai status itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pahang Smart City di Dewan Kompleks Bandaraya Majlis Bandaraya Kuantan di sini hari ini.
Beliau berkata lapan PBT hari ini menerima Anugerah Bandar Paling Mampan 2026 iaitu Majlis Perbandaran Bentong, Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja, Majlis Perbandaran Temerloh dan Majlis Daerah Bera.
Selain itu, Majlis Daerah Jerantut, Majlis Daerah Lipis, Majlis Daerah Raub dan Majlis Daerah Rompin.
Pada majlis itu, Wan Rosdy turut melancarkan Blueprint Smart City Negeri Pahang 2040 dengan aspirasi “Pahang Pintar, Makmur dan Lestari”.
Pelan tindakan yang menggariskan 14 dasar, 27 strategi dan 69 inisiatif itu sebagai panduan kepada kerajaan negeri, PBT, jabatan serta agensi berkaitan untuk merancang serta melaksanakan pembangunan bandar pintar di Pahang menjelang 2040.
Wan Rosdy dalam kenyataan sempena majlis pelancaran itu menyatakan harapan untuk Pahang menjadi negeri dilengkapi pengurusan bandar yang cekap, persekitaran bersih, kemudahan awam berkualiti dan kehidupan rakyat lebih baik.
— BERNAMA

