KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, menjejaki prestasi positif Wall Street semalaman berikutan kemerosotan harga minyak dan data eko
KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, menjejaki prestasi positif Wall Street semalaman berikutan kemerosotan harga minyak dan data ekonomi yang menggalakkan yang membantu meredakan kebimbangan terhadap krisis geopolitik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Pada 9.16 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.86 mata atau 0.22 peratus kepada 1,702.08 berbanding 1,698.22 ketika ditutup pada Rabu, selepas dibuka lebih tinggi sebanyak 8.03 mata kepada 1,706.25.
Di pasaran keseluruhan, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 318 berbanding 151 manakala 314 kaunter tidak berubah, 1,839 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 233.52 juta saham bernilai RM159.55 juta.
Malacca Securities Sdn Bhd berkata minat belian dijangka berterusan dengan saham wajaran tinggi sektor perbankan kekal menjadi tumpuan. Perbezaan kadar faedah antara AS dan Malaysia yang menggalakkan serta pengukuhan ringgit dijangka memberi manfaat kepada aset perbankan.
Firma penyelidikan itu juga menjangkakan harga minyak mentah akan kekal stabil melebihi AS$80 setong dalam tempoh terdekat, sekali gus berpotensi menyokong syarikat minyak dan gas huluan seperti Hibiscus Petroleum.
“Kami menjangkakan minat belian berterusan dalam Velesto susulan beberapa perolehan projek. Walaupun pelanggan semakin banyak mendapatkan bahan solar dan tempoh pembayaran balik Program Tindakan Peralihan Solar Dipercepatkan (ATAP) kekal lebih lama, kontraktor solar kini menawarkan nilai dengan pakej Solar Berskala Besar (LSS) yang terus menjadi tumpuan utama,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank, Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing naik empat sen kepada RM11.70, RM4.88 dan RM9.00 manakala Hong Leong Bank tidak berubah pada RM23.06 dan CIMB susut satu sen kepada RM7.94.
Bagi saham aktif, NexG melonjak 3.5 sen kepada 30.5 sen, Capital A meningkat setengah sen kepada 50.5 sen, Pharmaniaga dan Capital A tidak berubah masing-masing pada 27.5 sen dan 18 sen, manakala Bumi Armada merosot 0.5 sen kepada 35 sen dan Hengyuan Refining Company turun dua sen kepada RM1.52.
Bagi kaunter paling untung, Nestle naik RM1.50 kepada RM108.50, Malaysian Pacific Industries meningkat 56 sen kepada RM31.06, United Plantations menambah 16 sen kepada RM30.36 dan Malayan Cement melonjak 14 sen kepada RM8.26.
Kaunter paling rugi pula menyaksikan Ajinomoto dan Hong Leong Industries masing-masing merosot lapan sen kepada RM13.40 dan RM17.30, manakala TNB susut enam sen kepada RM14.10.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 naik 35.76 mata kepada 12,302.42, Indeks FBM Emas meningkat 36.23 mata kepada 12,470.70, Indeks FBM Mid 70 menambah 85.40 mata kepada 17,239.66, Indeks FBM Emas Shariah menokok 29.76 mata kepada 12,118.00 dan Indeks FBM ACE meningkat 27.80 mata kepada 4,533.62.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 65.69 mata kepada 20,834.47, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 1.20 mata kepada 172.92, Indeks Tenaga menokok 1.60 mata kepada 788.21 dan Indeks Perladangan naik 11.06 mata kepada 8,149.72.

