
Bursa dibuka bercampur – campur pada pagi
KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur berikutan sentimen berhati-hati menjelang keputusan mengenai kadar faedah oleh Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini.
Pada 9.13 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 1.30 mata kepada 1,453.36 daripada 1,454.66 semalam.,
Indeks utama dibuka tinggi 0.16 mata kepada 1,454.82.
Bagaimanapun, suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 176 berbanding 137 manakala 227 kaunter tidak berubah, 1,703 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 211.81 juta unit bernilai RM98.23 juta.
Dalam nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata bursa tempatan dijangka terus diniagakan secara mendatar dengan tekanan jualan yang semakin meningkat daripada dana asing berikutan pelabur menunggu keputusan mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh BNM hari ini.
“Pelabur dijangka menempatkan dalam sektor perbankan sebelum mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC),” katanya.
Dalam pada itu, saham wajaran tinggi Maybank menambah empat sen kepada RM8.71, Kuala Lumpur Kepong naik 18 sen kepada RM21.20, Public Bank meningkat satu sen kepada RM4.12 dan Dialog menokok tiga sen kepada RM2.41 manakala MISC tidak berubah pada RM7.40.
Dalam kalangan saham aktif, Hong Seng Consolidated meningkat satu sen kepada 14.5 sen, AwanBiru Technology menambah 2.5 sen kepada 41.5 sen dan Vinvest Capital naik setengah sen kepada 23 sen manakala Astro merosot 1.5 sen kepada 71.5 sen dan Tanco berkurangan dua sen kepada 47 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 7.06 mata kepada 10,598.69, Indeks FBM 70 jatuh 17.24 mata kepada 13,471.72, Indeks FBMT 100 berkurangan 10.10 mata kepada 10,273.23, Indeks FBM Emas Shariah susut 20.77 mata kepada 10,838.01 manakala Indeks FBM ACE naik 34.21 mata kepada 5,489.77.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 27.41 mata kepada 16132.97 dan Indeks Tenaga meningkat 1.21 mata kepada 891.81 manakala Indeks Perladangan berkurangan 35.34 mata kepada 6,904.09 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.25 mata kepada 176.97.
–BERNAMA