Belia Islam digesa bantu menentang Islamofobia

Belia Islam digesa bantu menentang Islamofobia

KUALA LUMPUR,. Golongan belia Islam perlu menggunakan platform media sosial dengan bijak bagi memainkan lebih banyak peranan aktif dalam menangani Islamofobia, kata Exco Pemuda Bersatu Muhammad Muzzammil Ismail.

Beliau menekankan pentingnya bagi mereka menggambarkan imej Islam yang positif.

“Mereka harus lebih aktif berkomunikasi dengan yang lain, memahami kepelbagaian dan yang paling penting jangan cuba menjadi halimunan apabila berdepan dengan isu, tetapi cuba selesaikannya dengan hikmah (bijak),” katanya kepada Bernama menjelang Sidang Kemuncak Belia Kuala Lumpur 2019 yang dijadualkan pada esok dan Rabu ini.

Beliau berkata pembelajaran antara budaya dalam kalangan golongan muda di seluruh dunia akan membantu menyampaikan ajaran Islam sebenar sebagai agama keamanan.

Sidang Kemuncak Belia merupakan permulaan kepada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 yang diadakan pada 18 hingga 21 Dis, dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Penglibatan Muhammad Muzzammil dalam sidang kemuncak belia itu dijangka memberi tumpuan kepada teknologi dan pembangunan mampan.

Beliau berkata negara-negara Islam perlu terus menjuarai pendidikan dan inovasi agar setanding dengan negara maju.

“Kemajuan sebenar adalah apabila kita, negara Islam, mencapai kemajuan selaras dengan nilai dan ajaran Islam,” katanya.

Sementara itu, pakar geopolitik dan tadbir urus manusia Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata rangka kerja baharu untuk pendidikan, latihan dan mobiliti bakat belia harus dipertimbangkan oleh negara Islam untuk membolehkan belia mereka setanding dengan rakan-rakan di negara lain di dunia.

“Kita mahukan belia kita terlepas daripada kitaran pendidikan terdahulu yang tertutup dan sempit, dan mengamalkan konsep ‘pendidikan terbuka’. Kita mahu golongan belia ini mendapat pendedahan global dan akses kepada peluang pendidikan terbaik di peringkat global,” katanya.

Wan Ahmad Fayhsal, yang akan menumpukan isu berkaitan pertukaran belia pada sidang kemucak belia itu, akan menekankan kepentingan komitmen terhadap pembelajaran sepanjang hayat dan akses yang adil kepada pelbagai peluang terutamanya dalam kalangan orang muda.

— BERNAMA

Oleh Hasnah Jusid

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )