Filem Animasi Tentang Pulau Pinang, ‘The Muralz’ Kini Di Pawagam

Filem Animasi Tentang Pulau Pinang, ‘The Muralz’ Kini Di Pawagam

Tayangan ini adalah bersempena dengan Festival Filem Animasi Malaysia 2023 yang diadakan buat julung kalinya tahun ini.

Studio Rawr Pictures Sdn Bhd, sebuah studio animasi yang mengkhusus dalam bidang animasi 2D dan 3D, dengan bangganya mempersembahkan filem animasi terbaharunya, ‘The Muralz’, dengan kerjasama Golden Screen Cinemas (GSC) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Sebagai sebahagian daripada usaha memartabatkan filem tempatan, GSC mempertontonkan karya sinematik ini melalui GSC International Screens sempena Festival Filem Animasi Malaysia (MAFF) yang julung kali diadakan pada 5 – 25 Oktober 2023, dengan sokongan Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang (PETACE), Wong Hon Wai.

Animasi luar biasa ini bukan sahaja bertujuan untuk menghiburkan tetapi juga untuk mencetuskan rasa ingin tahu dan menarik minat penonton untuk menikmati destinasi pelancongan Pulau Mutiara yang mempesona.

‘The Muralz’ adalah cetusan idea Pengarah Urusan Studio Rawr Pictures Sdn Bhd, Jeremy Lee, seorang penggiat industri yang berkemahiran dan berwawasan kreatif dengan pengalaman selama 17 tahun dalam bidang animasi 2D dan 3D.

Menurut Jeremy, The Muralz selain dihasilkan sebagai penghormatan kepada Pulau Pinang, ia juga berperanan sebagai simbol harapan, yang bertujuan untuk memberi inspirasi kepada penonton di seluruh dunia untuk memupuk sifat kasih sayang dan kerjasama dalam kesusahan.

“Melalui ‘The Muralz’, saya bukan sekadar menyampaikan sebuah cerita, saya turut menghulurkan undangan kepada dunia untuk membentuk masa depan yang berlandaskan kebaikan dan perpaduan,” ulasnya.

Filem animasi ini membuktikan kuasa perpaduan dan semangat kemanusiaan, sekali gus mengingatkan bahawa sifat kasih sayang dan kerjasama yang wujud dalam kalangan manusia membolehkan kita mengharungi pelbagai cabaran.

Sementara itu, Hon Wai, berkata, Pulau Pinang sememangnya satu destinasi yang amat dihargai, bukan sahaja untuk masyarakat tempatan tetapi juga untuk pelancong antarabangsa yang mendambakan pengalaman budaya asli.

“’The Muralz’ merakamkan intipati Pulau Pinang dengan indah. Ia mempamerkan budaya, sejarah dan isi hati rakyat tempatan

“Kami melihat filem ini sebagai pemangkin untuk memberikan nafas baharu kepada sektor pelancongan tempatan dengan mengingatkan kami tentang keindahan Pulau Pinang yang tiada tandingan. Kami berharap filem ini mampu melonjakkan nama Pulau Pinang kepada khalayak global,” ujarnya.

Selain ‘The Muralz’, terdapat enam lagi animasi pendek lain yang turut ditayangkan di cawangan GSC terpilih di Lembah Klang, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuching, dan Kota Kinabalu. Tiket-tiket dijual pada harga RM15 sahaja untuk setiap satu.

Untuk maklumat lanjut tentang ‘The Muralz’, sila layari https://rawr-pictures.com/ dan untuk maklumat tentang Festival Filem Animasi Malaysia (MAFF), sila layari https://www.gsc.com.my/international-screen/malaysia-animation-film-festival-2023/.

– Getaran, 12 Oktober 2023

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )