
Polis Siasat Replika Naga Dihiasi Bendera China dalam Perarakan di Muar
MUAR: Polis telah membuka kertas siasatan berhubung video dan gambar yang tular di media sosial, memaparkan replika naga yang dihiasi dengan bendera China semasa satu perarakan kebudayaan di Muar, semalam.
Ketua Polis Daerah Muar, ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz, memaklumkan bahawa perarakan tersebut dianjurkan sempena ulang tahun ke-20 Gabungan Persatuan Tiong Hua daerah Muar, sebagai sebahagian daripada program seni dan kebudayaan.
“Perarakan bermula sekitar pukul 6.10 petang dengan pelbagai aktiviti, termasuk tarian singa dan perarakan replika naga yang dikatakan sebagai yang terpanjang di Malaysia, melalui beberapa jalan utama di sekitar bandar Muar,” jelasnya.
Menurut Raiz, pemeriksaan polis mendapati replika naga tersebut dihiasi dengan Jalur Gemilang di bahagian kanan badannya, manakala bahagian kiri dihiasi bendera China.
Berikutan penularan video dan gambar acara tersebut, polis telah mengambil tindakan segera dengan membuka kertas siasatan pada hari kejadian dilaporkan.
“Polis telah memanggil penganjur perarakan serta saksi kejadian untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes tersebut sedang disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 6(2) Akta Perhimpunan Aman 2012, dan Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949.
ACP Raiz turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai dijalankan.
Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Muar melalui talian hotline 06-9526001.