Kanak-Kanak Cedera Parah Selepas Terlanggar ‘Mirror Maze’ di Taman Awam

Kanak-Kanak Cedera Parah Selepas Terlanggar ‘Mirror Maze’ di Taman Awam

SHAH ALAM, 10 Februari 2025 – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun mengalami kecederaan serius dan menerima 12 jahitan selepas melanggar cermin kaca di sebuah taman awam di Pengerang, Johor, baru-baru ini.

Ibunya, Nurul Shazrina Roslee, 38, berkongsi bahawa kejadian tersebut berlaku sekitar jam 9.30 malam ketika mereka sekeluarga mengunjungi taman berkenaan untuk melihat tarikan baharu yang diperkenalkan.

Menurutnya, mereka menemui ‘mirror maze’ berbentuk bulatan yang dihiasi lampu-lampu di sepanjang cermin, tetapi pantulan cahaya yang menyilaukan pada waktu malam mengelirukan pengunjung dan menyukarkan mereka mengenal pasti laluan sebenar.

“Pada mulanya, saya menyangka cermin tersebut diperbuat daripada akrilik dan bukannya kaca yang berisiko membahayakan. Ketika saya sedang menjaga dua anak kecil, anak sulung saya berjalan ke hadapan sebelum tiba-tiba kedengaran bunyi kaca pecah yang kuat,” katanya kepada Sinar Harian.

Tersentak dengan kejadian itu, Nurul Shazrina segera mendapatkan anaknya yang sudah berlumuran darah akibat kecederaan yang dialami.

“Kami segera membawanya ke klinik berhampiran untuk rawatan kecemasan. Doktor melakukan jahitan pada 12 luka di bahagian dahi, hidung, jari kanan, dan pergelangan tangan kiri kerana kecederaan yang serius.

“Hasil pemeriksaan X-ray tidak menunjukkan sebarang keretakan pada tengkoraknya, namun terdapat serpihan kaca di dalam hidungnya. Oleh itu, kami terpaksa membawanya ke Hospital KPJ untuk rawatan lanjut,” jelasnya.

Menurutnya, walaupun anaknya kini dalam proses pemulihan, kecederaan tersebut telah meninggalkan parut kekal. Malah, jari kanannya yang digunakan untuk menulis memerlukan rawatan fisioterapi berterusan.

Nurul Shazrina juga melihat insiden ini sebagai peringatan kepada ibu bapa agar lebih berhati-hati dalam memantau anak-anak ketika berada di tempat awam.

“Kadangkala, kejadian seperti ini di luar kawalan kita. Namun, saya berpendapat penggunaan cermin kaca di kawasan awam bukanlah pilihan yang selamat kerana ia boleh mendatangkan risiko kepada pengunjung,” katanya.

Susulan kejadian tersebut, beliau telah mengajukan aduan kepada Majlis Perbandaran Pengerang, yang bertindak menutup kawasan berkenaan sehari selepas insiden berlaku.

“Aduan ini dibuat bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak, tetapi sebagai usaha meningkatkan kesedaran agar aspek keselamatan di tempat awam diberi perhatian yang lebih serius,” ujarnya.

gerbangpost.com

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )