
China Perkukuh Kerjasama Antarabangsa dalam Pembangunan AI
BEIJING, 11 Februari 2025 – China menegaskan kesediaannya untuk memperluas kerjasama dengan pelbagai pihak dalam sektor Kecerdasan Buatan (AI) melalui dialog terbuka dan hubungan strategik yang lebih kukuh, kata Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun.
Beliau menyatakan bahawa China komited membangunkan ekosistem AI yang terbuka, inklusif, serta memberi manfaat bersama, di samping terus meneroka potensi teknologi ini bersama rakan antarabangsa.
Dalam perkembangan terbaru, syarikat AI China, DeepSeek, telah melancarkan model AI berskala besar yang berprestasi tinggi dan boleh digunakan secara percuma untuk tujuan komersial. Selain itu, kos latihannya jauh lebih rendah berbanding model lain yang setanding di pasaran.
Guo turut menekankan peranan China dalam pembangunan AI global dengan bertindak pantas menghadapi cabaran era revolusi teknologi. Selain memacu inovasi dalam AI, China juga memberi keutamaan kepada aspek keselamatan dan terus menyokong syarikat tempatan dalam memperkukuh daya saing industri ini.
“China mengamalkan pendekatan pembangunan AI yang inklusif dengan membantu negara-negara membangun meningkatkan keupayaan teknologi mereka. Kami juga menyokong penyelesaian AI sumber terbuka, memperluaskan akses perkhidmatan AI, serta memastikan manfaat teknologi ini dapat dikongsi secara meluas,” ujar Guo dalam satu sidang media semalam.
Beliau turut mengecam sebarang usaha untuk mendiskriminasi negara berdasarkan ideologi tertentu serta menolak penyalahgunaan konsep ‘keselamatan negara’ secara keterlaluan. China juga menentang tindakan mempolitikkan isu berkaitan ekonomi, perdagangan, dan teknologi dalam konteks AI serta inovasi global.