TM jangka hasil susut satu digit dari rendah ke sederhana

TM jangka hasil susut satu digit dari rendah ke sederhana

KUALA LUMPUR,. Telekom Malaysia Bhd (TM) menjangkakan hasil akan menyusut dari rendah ke sederhana dalam tahun kewangan 2020 berikutan keadaan tahun yang mencabar.

Untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2019, hasil telah menurun 3.3 peratus kepada RM11.43 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin berkata tekanan harga dijangka akan terus menjejaskan prestasi syarikat untuk tahun kewangan 2020.

“Tetapi kami akan cuba untuk menjadikannya statik dan tidak mempunyai negatif (pertumbuhan),” katanya kepada pemberita dalam taklimat mengenai keputusan kewangan tahun kewangan 2019 TM di sini hari ini.

Pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) bagi tahun kewangan 2020 dianggarkan lebih daripada RM1 bilion manakala garis perbelanjaan modal (CAPEX) untuk tahun kewangan ini dijangka berada di antara sederhana hingga pertengahan iaitu sebanyak 20 peratus.

Pada tahun kewangan 2019, EBIT melonjak lebih daripada 100 peratus kepada RM1.57 bilion daripada RM64.6 juta yang direkodkan pada 2018 manakala jumlah CAPEX adalah lebih rendah berbanding petunjuk pada 11.9 peratus daripada hasil atau RM1.36 bilion.

Menurut Noor Kamarul, walaupun beberapa pelanggan TM telah beralih kepada pengendali mudah alih yang lain, pengenalan Unifi Air serta peningkatan permintaan untuk perkhidmatan mudah alih Unifi telah membantu mengurangkan kadar perpindahan.

“Itulah sebabnya mengapa kami meminta kerajaan untuk frekuensi 700MHz, frekunsi yang lebih rendah bererti liputan yang lebih meluas.

“Sebaik sahaja kami mempunyai 5G, sebagai contoh, kami akan dapat memperkenalkan penumpuan mudah alih tetap,” katanya lagi.

TM berminat untuk menguasai pasaran di kawasan pinggir dan luar bandar yang kurang liputan di bawah pelaksanaan 5G syarikat berkenaan.

Beliau menambah bahawa lesen spektrum 5G dijangka akan dianugerahkan pada suku ketiga tahun ini dengan pelancaran 5G TM akan diperkenalkan beberapa bulan selepas itu.

Sementara itu, beliau ketika mengulas mengenai COVID-19 berkata wabak tersebut hanya memberikan kesan kecil ke atas persediaan 5G syarikat.

Selain daripada rakan kongsi dari China, TM juga bekerjasama dengan syarikat lain untuk mendapatkan perkakasan dari sumber seperti negara-negara Scandinavia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

“Setakat ini, ia adalah satu isu yang kecil. Kami juga membeli gentian dari Wuhan tetapi kami juga beli daripada pembekal lain dan tidak bergantung semata-mata kepada syarikat-syarikat China,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )