ASEAN akan lebih efisien untuk beri lebih banyak ruang bagi rundingan tarif – Sri Mulyani

ASEAN akan lebih efisien untuk beri lebih banyak ruang bagi rundingan tarif – Sri Mulyani

KUALA LUMPUR,. Negara anggota ASEAN memberi tumpuan untuk menghapuskan gangguan agar menjadi lebih cekap untuk membuka ruang bagi rundingan dengan Washington yang menyuarakan kebimbangan terhadap halangan tarif dan bukan tarif.

Menteri Kewangan Indonesia Sri Mulyani Indrawati yang mengalu-alukan penangguhan sementara tarif timbal balik oleh Amerika Syarikat (AS) berkata banyak negara anggota mengakui bahawa mereka masih mempunyai ruang untuk menambah baik dasar perdagangan dan dasar pelaburan mereka.

“Jadi kita harap penangguhan selama 90 hari ini akan memberi peluang yang sangat berharga antara AS dan semua negara supaya sebagai ekonomi terbesar di dunia, AS akan melihat negara lain berpotensi untuk hubungan yang saling menguntungkan,” katanya yang juga merupakan penggubal dasar dan pakar ekonomi berpengalaman.

Beliau berkata demikian kepada BERNAMA menerusi temu bual di luar Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12, di sini, hari ini.

Sri Mulyani berkata kesan riak ke atas saham global susulan pengumuman tarif Presiden AS Donald Trump pada 2 April itu berpunca daripada kebimbangan dan ketidakpastian.

Bagaimanapun, beliau menegaskan blok 10 anggota itu, sebagai satu perkumpulan dan individu, mempunyai mekanisme yang baik untuk bertindak balas terhadap kejutan seperti ini, berdasarkan pengalaman mereka menangani krisis seperti krisis kewangan Asia, krisis ekonomi global dan COVID-19.

–BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )