Negeri Sembilan Seven Wonders Challenge dijadikan acara tahunan

Negeri Sembilan Seven Wonders Challenge dijadikan acara tahunan

SEREMBAN,. Program Negeri Sembilan Seven Wonders Challenge akan menjadi acara tahunan utama bagi mempromosikan pesona alam semula jadi dan memupuk budaya hidup sihat serta sejahtera dalam kalangan masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri Datuk Mustapha Nagoor berkata penganjuran sukan rekreasi berasaskan cabaran alam semula jadi seperti mendaki dan larian denai itu diteruskan susulan kejayaan menarik lebih 10,000 penyertaan pada penganjuran sulung tahun lepas.

Beliau berkata edisi tahun ini berlangsung tujuh bulan di tujuh daerah bermula 19 April hingga 4 Okt, dengan sasaran penyertaan ditambah kepada 1,500 peserta di setiap lokasi berbanding 1,000 orang sebelum ini.

“Antara lokasi pilihan tahun ini ialah Bukit Bosar Bayai Jempol, Gunung Berembun Seremban, Bukit Ramunia Gemencheh, PD Forest Sungai Menyala Port Dickson, Bukit Bagindo Kuala Pilah, Bukit Batu Sawa Jelebu dan Gunung Datuk Rembau,” katanya kepada pemberita di sini.

Mustapha berkata program itu turut menjadi medan penyatuan masyarakat merentasi kaum, agama dan latar belakang sosial selaras dengan aspirasi Inisiatif Harmoni MADANI.

Beliau berkata program itu merupakan antara usaha kerajaan negeri menyemarakkan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) yang diraikan pada Sabtu minggu kedua Oktober setiap tahun.

Selain itu Mustapha berkata program itu juga selari dengan sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera dan turut menjadi pemangkin kepada promosi Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.

“Penganjuran tahun ini lebih meriah dan inklusif. Hadiah khas berbentuk wang tunai disediakan untuk daerah terbaik sebagai motivasi kepada pasukan pelaksana di peringkat daerah,” katanya.

–BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )