Projek solar TNB Bukit Selambau mula operasi lebih awal

KUALA LUMPUR,. Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah berjaya memulakan operasi Projek Solar Berskala Besar (LSS) miliknya di Bukit Selambau, Kedah (LSS Bukit Selambau) pada 8 September lepas, 114 hari lebih awal daripada dijadualkan.

TNB dalam satu kenyataan berkata loji tenaga solar berkapasiti 30 megawatt (MW) itu dilengkapi dengan 134,880 panel fotovoltaik solar dan 14 alat inverter itu pada mulanya dijangka menjalankan operasi pada 31 Disember, 2020.

“Operasi awal LSS Bukit Selambau ini membuktikan komitmen TNB dalam menyediakan tenaga mampan kepada negara dan kemampuannya melaksanakan projek Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) berskala besar.

“Seiring dengan pemerolehan pegangan majoriti dalam Vortex Solar di United Kingdom (UK) baru-baru ini, ia meletakkan TNB sebagai peneraju RE domestik dan menjadikannya antara pemain RE utama di rantau ini dan peringkat antarabangsa,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Projek kedua LSS itu meningkatkan dan mengukuhkan kapasiti penjanaan solar berskala besar dalam negara dengan menyumbang 80MWac (123MWp) kepada Grid Nasional.

LSS pertama TNB di Sepang, Selangor (LSS Sepang Solar) berkapasiti 50MW telah memperoleh tarikh operasi komersial pada November 2018

Projek LSS Sepang Solar dan LSS Bukit Selambau masing-masing dianugerahkan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) (kini Kementerian Tenaga dan Sumber Asli – KeTSA) melalui Suruhanjaya Tenaga menerusi Program Bidaan Kompetitif LSS 1 dan 2.

Dua loji itu dibangunkan oleh anak syarikat milik penuh TNB, TNB Renewables Sdn Bhd (TRe).

TRe ialah cabang pengurusan aset, operasi dan pelaburan TNB.

Pembinaan LSS Bukit Selambau mengambil masa 21 bulan termasuk hampir dua bulan tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pembinaannya dijalankan mengikut peruntukan oleh kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan, TNB Engineering Corporation Sdn Bhd, satu lagi anak syarikat milik penuh TNB.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )