Skim Usahawan Tani Agrobank x, FAMA menawarkan pakej sokongan komprehensif

HomeFeaturedBusiness

Skim Usahawan Tani Agrobank x, FAMA menawarkan pakej sokongan komprehensif

KUALA LUMPUR,. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan Skim Usahawan Tani Agrobank x FAMA di Pasar Tani Taman Melawati, Kuala Lumpu

Bursa dibuka tinggi pada isnin pagi
Bursa dibuka rendah dengan aktiviti pengambilan untung pelabur
KLIA SERAGAMKAN CAJ KEMASUKAN KENDERAAN E-PANGGILAN RM2 BERKUAT KUASA HARI INI

KUALA LUMPUR,. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan Skim Usahawan Tani Agrobank x FAMA di Pasar Tani Taman Melawati, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Skim yang dibangunkan melalui kerjasama strategik antara Agrobank dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), menawarkan pakej sokongan komprehensif yang bertujuan memperkukuh usahawan tani di seluruh negara.

Ia menggabungkan kemudahan pembiayaan dan penabungan, perlindungan takaful, penyelesaian pembayaran digital serta latihan keusahawanan percuma yang memberi tumpuan kepada pengurusan kewangan dan pemasaran.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, berkata inisiatif ini direka bagi menyokong pertumbuhan petani dan usahawan tani dengan memperkukuh operasi perniagaan, meningkatkan daya tahan kewangan serta memperluas capaian pasaran.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen Agrobank dalam menyediakan kemudahan pembiayaan yang relevan dan inklusif kepada komuniti agromakanan, selaras dengan peranannya sebagai institusi kewangan pembangunan yang memberi tumpuan kepada sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara,” katanya.

Beliau menambah bahawa skim ini menyasarkan 1,000 usahawan tani, yang akan mendapat manfaat daripada kemudahan pembiayaan mikro sehingga RM100,000 bagi setiap pelanggan, dengan kadar keuntungan serendah 2.5 peratus setahun. Permohonan dibuka sehingga 31 Disember 2026, tertakluk kepada terma dan syarat.

Sebagai insentif tambahan, 500 pemohon terawal yang layak akan menerima manfaat pembiayaan mikro bersama barangan eksklusif Agrobank.

Bagi menyokong pendigitalan dalam kalangan perniagaan kecil, Agrobank turut menyediakan 200 unit DuitNow QR SoundBox secara percuma kepada pelanggan terpilih.

Peranti ini bertujuan menggalakkan penggunaan platform DuitNow QR Agrobank, sekali gus membolehkan pengesahan bayaran yang lebih pantas dan selamat serta menggalakkan transaksi tanpa tunai dalam kalangan petani dan peniaga kecil.

Melalui kerjasama dengan FAMA, Agrobank berharap skim ini dapat mempertingkatkan akses kepada pembiayaan patuh Syariah serta memberi manfaat langsung kepada usahawan tani, di samping memperkukuh daya tahan perniagaan mikro dan menyokong pertumbuhan mampan sektor agromakanan negara.