
Keputusan SPM 2024 diumum pada 24 April – KPM
PUTRAJAYA,. Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 akan diumumkan pada Khamis, 24 April ini, menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Dalam satu kenyataan hari ini, KPM memaklumkan bahawa seramai 402,956 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan tersebut yang dilaksanakan di 3,337 pusat peperiksaan di seluruh negara.
“Calon sekolah boleh mendapatkan keputusan masing-masing di sekolah bermula 10 pagi pada tarikh tersebut.
“Bagi calon persendirian, keputusan akan dihantar melalui pos atau boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat mereka mendaftar untuk menduduki peperiksaan,” menurut kenyataan itu.
KPM memaklumkan pihak sekolah perlu memastikan proses penyerahan keputusan peperiksaan dilaksanakan secara cekap dan teratur bagi memastikan kelancaran urusan penyampaian keputusan kepada calon.
Selain itu, calon sekolah dan calon persendirian juga boleh membuat semakan keputusan secara dalam talian menerusi laman sesawang myresultspm.moe.gov.my mulai 10 pagi pada 24 April sehingga 6 petang pada 30 April 2025.
Semakan juga boleh dibuat menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPM, diikuti nombor kad pengenalan dan angka giliran, kemudian dihantar ke 15888 dalam tempoh yang sama.
KPM turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua calon dan berharap kejayaan yang diraih akan menjadi pemangkin untuk terus melakar kecemerlangan pada masa hadapan.
–BERNAMA