
Kemalangan UUM: Polis ambil keterangan dua pemandu bas
ALOR SETAR,. Polis telah mengambil keterangan dua pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan di hadapan perhentian bas Jalan Persiaran Perdana Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok yang telah mengorbankan seorang mahasiswa universiti itu pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Mohd Radzi Abdul Rahim berkata lelaki berusia 37 tahun yang memandu bas di bahagian hadapan telah diambil keterangan pada Sabtu manakala seorang lagi pemandu bas berusia 32 tahun yang disyaki menyebabkan kemalangan itu telah ditahan kira-kira 4.30 petang semalam.
“Bagaimanapun, lelaki itu kemudiannya dilepaskan selepas selesai memberi keterangan dan hasil saringan urin juga adalah negatif.
“Pemandu berkenaan memberi kerjasama yang baik dan hanya memaklumkan dia tidak sedar bahawa bas di hadapan telah berhenti,” katanya dalam kenyataan semalam.
Mohd Radzi berkata hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan lebam pada jantung yang berpunca daripada hentakan atau pelanggaran yang melibatkan kenderaan.
Pada Sabtu, Bernama melaporkan seorang mahasiswa UUM, Manarina Hasya Muhamad Karim, 22, maut dihimpit bas ketika sedang berjalan kaki menunggu giliran untuk menaiki bas di dalam kampus itu.
Mangsa yang berasal dari Johor disahkan meninggal dunia selepas hampir 10 jam menerima rawatan di hospital.
— BERNAMA