
DHL gantung penghantaran bernilai tinggi kepada pelanggan AS susulan peraturan tarif Trump
ISTANBUL,. Syarikat kurier antarabangsa DHL menggantung penghantaran bungkusan bernilai melebihi US$800 kepada pelanggan persendirian di Amerika Syarikat (AS), susulan peraturan kastam baharu yang diperkenalkan di bawah dasar tarif Presiden Donald Trump, lapor Anadolu Ajansi.
Firma logistik global itu memaklumkan bahawa perubahan terkini dalam peraturan kastam AS, yang kini mewajibkan pemprosesan kemasukan secara rasmi bagi penghantaran melebihi US$800, telah meningkatkan kerenah birokrasi dengan ketara dan menyebabkan kelewatan penghantaran selama beberapa hari.
Bagi menguruskan beban dokumentasi tambahan, DHL memutuskan untuk menggantung penghantaran yang melebihi had US$800 kepada individu di AS mulai Isnin, “sehingga diberitahu kelak.”
Bagaimanapun, penghantaran antara perniagaan (business-to-business) yang melebihi nilai US$800 akan tetap diteruskan, namun berkemungkinan mengalami kelewatan, tambah syarikat itu.
Perubahan peraturan yang digubal oleh pentadbiran Trump dan dikuat kuasa pada 5 April lalu menurunkan ambang nilai untuk kemasukan bungkusan dengan dokumentasi minimum daripada US$2,500 kepada US$800.
— BERNAMA