Tukun tiruan dan unjam bantu lindung, pulihara ekosistem marin

Tukun tiruan dan unjam bantu lindung, pulihara ekosistem marin

GEORGE TOWN,. Pulau Pinang akan menempatkan tukun tiruan dan unjam di perairan berhampiran Pulau Kendi di sini, sebagai antara inisiatif perlindungan dan pemuliharaan ekosistem marin di kawasan selatan negeri itu yang terlibat dengan pembangunan projek Pulau Silikon.

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation (PIC) Datuk Seri Farizan Darus berkata projek rintis itu merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Pengimbangan Ekologi PSI (PEOM) yang dirangka hasil kerjasama strategik antara kerajaan negeri melalui PIC, pemaju projek Silicon Island Development Sdn Bhd (SIDSB) dan rakan pakar penyelidikan daripada Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau berkata usaha itu ialah komitmen jangka panjang dalam memastikan projek pembangunan Pulau Silikon dilaksanakan secara seimbang, di samping sebagai langkah proaktif mewujudkan habitat baharu bagi kehidupan laut sekali gus memanfaatkan komuniti nelayan tempatan.

“Reka bentuk dan lokasi ini telah dipersetujui dan diluluskan oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dengan sokongan Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang (DoFPP), Institut Penyelidikan Perikanan Batu Maung (FRI), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Pulau Pinang serta Persatuan Nelayan Kawasan Pulau Pinang Selatan (PNKPPS).

“Malah, kelulusan oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia melalui surat bertarikh 15 April 2025 juga menetapkan beberapa syarat perlu dipatuhi termasuk keperluan membuat pemantauan berterusan bagi keberkesanan tukun yang dilabuhkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Penempatan Tukun Tiruan dan Unjam di sini, hari ini yang disempurnakan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Taskforce Nelayan Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.

Farizan berkata dari segi pelaksanaan untuk fasa awal, sebanyak dua set tukun akan dilabuhkan bermula esok dan dijangka mengambil masa selama dua hari serta lokasi berkenaan telah dikenal pasti sesuai berdasarkan kajian terperinci oleh CEMACS.

Selain tukun tiruan, katanya dua unjam akan dilabuhkan di tapak bangkai “Kapal Taiwan” di sebelah barat Pulau Kendi berikutan lokasi itu sering dikunjungi nelayan kawasan Selatan Pulau Pinang serta terlindung daripada gangguan bot pukat tunda.

“Untuk penstabilan struktur, dua tukun kecil akan digunakan sebagai pemberat bagi setiap unjam dan pada masa sama akan menambahkan habitat baharu di dasar laut.

“Sebagai langkah kawalan dan pemantauan, kawasan tukun ini akan ditandakan dengan boya sementara untuk memaklumkan kepada pengguna laut mengenai kewujudan struktur bawah air,” katanya.

Mohamad berkata PEOM bukan sekadar inisiatif jangka pendek atau simbolik semata-mata, sebaliknya ia merupakan pelan komprehensif dan bersepadu yang dirangka dengan teliti bagi memastikan pembangunan projek Pulau Silikon dapat dilaksanakan secara mampan tanpa menjejaskan kelestarian ekosistem marin serta kesejahteraan komuniti nelayan terlibat.

Katanya, selain program penempatan tukun tiruan dan unjam, beberapa inisiatif lain turut dilaksanakan di bawah PEOM meliputi penanaman pokok bakau, penstokan ikan dan udang, penawaran geran penyelidikan serta peningkatan ekologi pesisir pantai.

Sementara itu, Pengarah CEMACS Prof Datuk Dr Aileen Tan berkata pasukan penyelidikannya akan melaksanakan pemantauan dan penilaian pada peringkat awal selama enam bulan terhadap kawasan penempatan tukun dan unjam itu bagi menilai keberkesanannya.

Beliau berkata pasukan itu juga akan menganalisis data dan membentangkan hasil kajian kepada kerajaan negeri dengan cadangan penambahbaikan jika perlu.

“CEMACS turut menggalakkan pemantauan dan penyelenggaraan jangka panjang terhadap struktur yang ditempatkan, terutamanya dalam tempoh lima tahun pertama. Hal ini penting untuk memastikan setiap langkah yang diambil memberi impak maksimum kepada pemulihan dan kestabilan ekosistem marin,” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu turut diadakan penyampaian hadiah kemasukan dan hadiah kecemerlangan institusi pengajian tinggi (IPT) kepada 32 anak nelayan yang berjaya melanjutkan pelajaran menerusi inisiatif di bawah Pelan Induk Pengurusan Impak Sosial (SIMP).

Sebanyak lima nelayan yang lulus ujian jurumudi melalui tajaan kerajaan negeri di bawah skim SIMP turut menerima sijil masing-masing, menjadikan keseluruhan 25 jurumudi yang telah ditauliahkan setakat ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )