Piala Negara-Negara FIH Wanita 2: Impian Malaysia ke separuh akhir lebur

Piala Negara-Negara FIH Wanita 2: Impian Malaysia ke separuh akhir lebur

KUALA LUMPUR,. Impian skuad wanita negara untuk mara ke separuh akhir pada Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) 2 2024-25 tidak kesampaian selepas mengalami kekalahan kedua berturut-turut semalam.

Malaysia yang bermula garang menerusi gol padang Dayang Nuramirah Abang Mahadini pada minit ke-11 gagal mengekalkan kelebihan itu apabila tewas 1-3 kepada Afrika Selatan pada saingan Kumpulan A di Walcz, Poland.

Sebaliknya, Afrika Selatan berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang Ntsopa Mokoena seminit sebelum separuh masa pertama tamat, diikuti gol padang Onthatile Zulu ketika aksi separuh masa kedua baru bermula dua minit dan gol pukulan sudut penalti Hannah Pearce pada minit ke-49.

Menerusi video dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Ketua Jurulatih Malaysian Tigress Mohd Nasihin Nubli Ibrahim tetap berbangga dengan komitmen dan disiplin tinggi anak buahnya yang berjaya memberikan tekanan kepada Afrika Selatan sehingga mendahului lawan sebelum melakukan beberapa kesilapan yang membuka ruang kepada pasukan ranking ke-21 dunia itu bangkit menewaskan mereka.

Biarpun laluan ke separuh akhir sudah terkubur, Mohd Nasihin berharap agar pasukan yang menghuni ranking ke-24 dunia itu dapat memberikan tentangan sengit pada aksi terakhir kumpulan menentang Uruguay esok.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia menduduki tempat tercorot Kumpulan A tanpa sebarang mata, manakala tuan rumah Poland di tangga teratas selepas memungut empat mata diikuti Uruguay juga dengan empat mata dan Afrika Selatan di tempat ketiga dengan tiga mata.

Semalam, Malaysia membuka kempen edisi sulung Piala Negara-Negara FIH 2 dengan langkah kiri selepas tumpas 0-2 kepada Poland.

Hanya dua pasukan terbaik setiap kumpulan mara ke separuh akhir, manakala juara Piala Negara-Negara 2 2024-25 layak secara automatik ke Piala Negara-Negara 2025-26.

–BERNAMA

CATEGORIES
Share This