Renewage Group didenda RM30,000 kerana operasi pelancongan tanpa lesen

Renewage Group didenda RM30,000 kerana operasi pelancongan tanpa lesen

GEORGE TOWN,. Sebuah syarikat pengendalian pelancongan didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjalankan perniagaan pengendalian pelancongan yang tidak berlesen.

Hakim Irwan Suainbon turut memerintahkan pihak syarikat Renewage Group Sdn. Bhd dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Syarikat itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 5(2) Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) dan dihukum di bawah Seksyen 5(3) akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi dan Siti Zulaikha Mahadi.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam satu kenyataan menegaskan bahawa kesalahan di bawah Akta 482 merupakan jenayah serius dan kementerian akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar akta berkenaan.

“Kegiatan tidak berlesen seperti ini boleh menjejaskan keyakinan pelancong dan mendedahkan pengguna kepada pelbagai risiko termasuk penipuan, ketidaktentuan jadual perjalanan, kekurangan perlindungan undang-undang serta pengalaman pelancongan yang tidak selamat.

“Oleh itu, MOTAC komited untuk mempertingkatkan penguatkuasaan Akta 482 bagi memastikan hanya pengendali pelancongan yang sah dibenarkan beroperasi demi mewujudkan persekitaran industri pelancongan yang lebih selamat, berdaya saing dan bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.

MOTAC turut berharap agar kes ini menjadi peringatan kepada semua pengusaha dalam industri pelancongan agar lebih bertanggungjawab dan beretika dalam menjalankan aktiviti perniagaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This