INSP MIHAS sasar pedagangan halal global bernilai RM4.5 bilion libat 450 pembeli antarabangsa

INSP MIHAS sasar pedagangan halal global bernilai RM4.5 bilion libat 450 pembeli antarabangsa

KUALA LUMPUR,. Program Penyumberan Antarabangsa (INSP), yang dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyasarkan nilai urus niaga perdagangan halal global sebanyak RM4.5 bilion dengan penyertaan 450 pembeli antarabangsa.

MATRADE dalam satu kenyataan berkata, jumlah itu terdiri daripada 250 pembeli fizikal, 150 pembeli sesi maya dan 50 pembeli premium.

INSP akan diadakan bersempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2025) edisi ke-21, dengan sesi fizikal buat pertama kalinya berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

“Bagi format hibrid, sesi maya akan berlangsung dari 1 April hingga 5 Nov, manakala sesi fizikal akan diadakan di MITEC pada 17 Sept,” kata kenyataan itu.

Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, berdasarkan momentum kukuh daripada MIHAS 2024 yang mencatat jualan RM4.3 bilion dan menerima lebih 43,000 pengunjung dari 90 negara, MIHAS 2025 dijangka mencapai kejayaan yang lebih besar.

“Dengan peningkatan sasaran kepada RM4.5 bilion perdagangan halal dan 45,000 pengunjung antarabangsa, kami memperhebat impak global menerusi rangkaian lebih pintar yang dipacu teknologi.

“Teras kepada usaha ini ialah Platform Perdagangan Digital MADANI berasaskan kecerdasan buatan (AI), yang direka untuk memudah cara padanan strategik dan lancar antara pembeli antarabangsa secara fizikal dan maya, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam ekonomi halal,” katanya.

INSP MIHAS 2025 akan menampilkan penyertaan pengeksport daripada 19 sektor termasuk hasil pertanian, pakaian, minuman, makanan, produk berasaskan minyak sawit, farmaseutikal, kelengkapan penjagaan diri dan kosmetik, serta jentera dan peralatan.

Tarikh akhir pendaftaran adalah pada 15 Julai 2025 untuk sesi fizikal dan 5 Nov 2025 bagi sesi maya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This