S’pura lega pengaliran bekalan barangan, makanan, tidak terjejas

S’pura lega pengaliran bekalan barangan, makanan, tidak terjejas

SINGAPURA, 17 Mac — Singapura lega apabila Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari yang akan berkuat kuasa di Malaysia tengah malam ini tidak akan menjejaskan pengaliran bekalan barangan dan makanan antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berkata demikian semasa memuat naik akaun Facebooknya bahawa beliau diberi jaminan mengenai perkara itu menerusi perbualan telefon dengan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya beritahu beliau bahawa saya faham sebab beliau (Muhyiddin) melaksanakan langkah itu (Perintah Kawalan Pergerakan), dan berharap Malaysia berjaya dalam membedung penularan virus itu (COVID-19).

“Saya gembira mendengar jaminan beliau bahawa pengaliran barangan dan kargo antara Singapura dan Malaysia termasuk bekalan makanan akan diteruskan,” kata Lee.

Malam tadi, Muhyiddin mengumumkan bahawa Malaysia akan menguat kuasa Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18-31 Mac bagi memerangi COVID-19.

Lee berkata, rakyat Malaysia yang tinggal di Johor tetapi bekerja di Singapura dikehendaki mematuhi arahan berkenaan.

“Ini akan dapat mengelakkan mereka daripada berulang-alik setiap hari, sekurang-kurangnya untuk sementara waktu ini. Oleh itu, kami sedang membuat perancangan dengan syarikat kami untuk membantu pekerja Malaysia ini agar dapat tinggal di Singapura buat sementara jika mereka bersetuju berbuat demikian,” katanya.

Lee berkata, beliau dan Muhyiddin juga bersetuju untuk melantik menteri kanan dari kedua-dua pihak — Menteri Penyelarasan bagi Keselamatan Nasional, Teo Chee Hean dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri — untuk menyelaras bagi membendung penularan COVID-19, terutama “langkah-langkah di mana kedua-dua negara boleh bekerjasama atau di mana tindakan sebuah daripada negara itu akan membawa kesan kepada yang lain”.

“Mereka sudah pun berhubung, tetapi ia mungkin mengambil beberapa hari lagi untuk menyiapkan persediaan itu,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )