Persidangan Buruh Antarabangsa di Geneva, Global Coalition for Social Justice

HomeFeaturedBerita Semasa

Persidangan Buruh Antarabangsa di Geneva, Global Coalition for Social Justice

GENEVA,. Malaysia secara rasmi telah menyertai Global Coalition for Social Justice, sekali gus menegaskan semula komitmennya untuk memperkukuh perlind

F1 ; LANDO NORRIS MENJUARAI JUARA GP BELANDA
Lagi gempa bumi di Indonesia, berukuran 5.9 magnitud di kepulauan Tanimbar
AKPS patah cubaan bawa masuk 50 tan daging babi sejuk beku

GENEVA,. Malaysia secara rasmi telah menyertai Global Coalition for Social Justice, sekali gus menegaskan semula komitmennya untuk memperkukuh perlindungan sosial, memajukan pertumbuhan ekonomi yang inklusif serta meningkatkan kebajikan pekerja selaras dengan standard buruh antarabangsa.

Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, telah menyerahkan surat rasmi penyertaan Malaysia kepada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang diwakili Ketua Pengarahnya, TYT Gilbert F. Houngbo, dalam satu pertemuan yang diadakan bersempena Sesi Ke-114 Persidangan Buruh Antarabangsa di Geneva.

Turut hadir ialah Penolong Ketua Pengarah dan Pengarah Serantau ILO bagi Asia dan Pasifik, Kaori Nakamura Osaka; Penasihat Kanan kepada Ketua Pengarah ILO, Hitomi Nakagome; Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman; Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal; serta Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia, Dr. Mohd Shaharin Umar.

Ramanan berkata, penyertaan Malaysia dalam inisiatif tersebut mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh agenda keadilan sosial, memperluas perlindungan pekerja serta memacu pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan berasaskan prinsip pekerjaan yang bermaruah (decent work).

Beliau turut menekankan kepentingan mengekalkan ekosistem tripartit yang harmoni, inklusif dan berkesan melibatkan kerajaan, majikan serta pekerja, sambil menyatakan bahawa dialog yang konstruktif kekal penting dalam menangani isu perhubungan perusahaan serta mengekalkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap sistem perburuhan negara.

Ketika berucap pada sesi persidangan tersebut, Ramanan menyoroti impak kecerdasan buatan (AI) yang semakin berkembang terhadap masa depan pekerjaan, sambil menyifatkannya bukan sahaja sebagai revolusi teknologi tetapi juga titik perubahan dari sudut sosial dan ekonomi.

Beliau berkata, cabarannya adalah untuk memastikan transformasi teknologi dilaksanakan secara adil, inklusif dan berteraskan maruah insan.

“Malaysia percaya bahawa masa depan tidak boleh dimiliki semata-mata oleh algoritma, mesin atau pasaran. Masa depan mesti terus menjadi milik manusia,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia sedang memperkasakan tenaga kerjanya untuk berkembang maju dalam ekonomi dipacu AI menerusi peluasan program latihan AI dan teknologi digital, di samping memperkukuh keselamatan tempat kerja melalui Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2026–2030. Sistem Penilaian Risiko Digital Malaysia pula telah memberi manfaat kepada hampir 270,000 pengguna di seluruh negara.

Tambah beliau, Malaysia turut memodenkan sistem keadilan perusahaan melalui penggunaan teknologi rakaman digital dan AI di Mahkamah Perusahaan serta Mahkamah Buruh, manakala majikan yang melabur dalam latihan AI dan keselamatan siber boleh menikmati potongan cukai tambahan di bawah ekosistem MyMahir–Majlis AI Kebangsaan untuk Industri.

Ramanan turut memaklumkan bahawa inisiatif padanan pekerjaan berasaskan AI menerusi MYFutureJobs telah membantu menyediakan 1.49 juta penempatan pekerjaan sejak tahun 2020, sekali gus menghubungkan jutaan pencari kerja dengan peluang pekerjaan.

Pada masa yang sama, Malaysia terus memperkukuh langkah perlindungan sosial termasuk memperluaskan skim perlindungan kecederaan 24 jam PERKESO kepada hampir 10 juta pekerja sektor formal.

Beliau menegaskan semula bahawa Malaysia kekal komited untuk membentuk masa depan pekerjaan yang berteraskan manusia, di mana kemajuan teknologi menyokong pekerjaan yang bermaruah, keadilan sosial dan maruah insan.