PORT DICKSON,. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus mempergiat usaha meningkatkan kesedaran awam mengenai gangguan se
PORT DICKSON,. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus mempergiat usaha meningkatkan kesedaran awam mengenai gangguan seksual menerusi program ‘Zero Tolerance for Violence: Say No to Sexual Harassment’, yang bertujuan mewujudkan persekitaran lebih selamat, inklusif dan penuh rasa hormat untuk semua.
Program yang berlangsung di Hotel Villea, Port Dickson pada Khamis telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying, yang berkata gangguan seksual kekal sebagai isu serius yang bukan sahaja menjejaskan maruah dan keselamatan individu, malah turut memberi kesan terhadap kesejahteraan masyarakat serta produktiviti negara.
Dalam ucapan perasmiannya, Lim menegaskan bahawa usaha menangani gangguan seksual memerlukan komitmen dan kerjasama kolektif daripada semua pihak berkepentingan, termasuk agensi kerajaan, majikan, institusi pendidikan serta masyarakat secara keseluruhannya.
Beliau berkata, kerajaan telah memperkukuh usaha membanteras gangguan seksual menerusi pelaksanaan Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840), yang menyediakan perlindungan lebih menyeluruh kepada mangsa selain menggalakkan kebertanggungjawaban dalam kalangan pelaku.
Salah satu komponen utama di bawah akta tersebut ialah penubuhan Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS), yang berperanan sebagai mekanisme alternatif bagi menyelesaikan aduan secara lebih cepat, mudah dan berpatutan.
Menurut Lim, sebanyak 100 aduan telah difailkan kepada TAGS setakat 15 Jun tahun ini, dengan 82 kes berjaya diselesaikan dalam tempoh 60 hari bermula daripada tarikh pendengaran pertama. Baki 18 kes kini masih dalam proses pengurusan kes.
Pencapaian tribunal ini menunjukkan keberkesanannya dalam mempercepatkan akses kepada keadilan bagi mangsa gangguan seksual, katanya.
Lim turut menyorot peningkatan trend kes gangguan seksual yang dilaporkan di seluruh negara. Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan jumlah kes dilaporkan meningkat daripada 477 kes pada 2022 kepada 522 kes pada 2023, sebelum mencatat peningkatan ketara kepada 788 kes pada 2024 dan 1,038 kes pada 2025.
Sehingga Mei 2026, sebanyak 388 kes telah dilaporkan di seluruh negara, termasuk 11 kes yang direkodkan di Negeri Sembilan.
Beliau berkata, program berkenaan turut selari dengan Pelan Tindakan Nasional Wanita, Keamanan dan Keselamatan (NAP WPS) 2025 2030, yang mencerminkan komitmen Malaysia dalam memperkukuh peranan wanita sebagai pemangkin kepada keamanan dan pembangunan mampan.
Lim menyeru semua pihak agar menyokong usaha KPWKM dalam memperluaskan program advokasi dan kesedaran berkaitan gangguan seksual, sambil mengingatkan bahawa isu yang tidak ditangani pada peringkat awal boleh berkembang menjadi bentuk keganasan yang lebih serius, termasuk keganasan terhadap wanita.
Beliau menegaskan kepentingan komitmen bersama dalam membudayakan sikap toleransi sifar terhadap gangguan seksual serta mewujudkan persekitaran yang lebih selamat berteraskan etika, rasa hormat dan penghormatan terhadap maruah setiap individu.
–GERBANGPOST

