KUALA LUMPUR,. Malaysia Airlines melaksanakan pelarasan sementara bagi operasi daftar masuk di Terminal Udara Kuala Lumpur City (KL CAT), KL Sentral,
KUALA LUMPUR,. Malaysia Airlines melaksanakan pelarasan sementara bagi operasi daftar masuk di Terminal Udara Kuala Lumpur City (KL CAT), KL Sentral, di sini dari 1 Julai hingga 31 Disember 2026.
Dalam hantaran di platform X hari ini, syarikat penerbangan nasional itu memaklumkan langkah berkenaan adalah sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan pengalaman perjalanan penumpang.
Sehubungan itu, penumpang digalakkan menyelesaikan urusan daftar masuk menerusi laman sesawang rasmi atau aplikasi mudah alih sebelum memulakan perjalanan.
“Perkhidmatan yang ditawarkan di KL CAT dalam tempoh itu termasuk kiosk daftar masuk layan diri, kemudahan daftar masuk bagasi sendiri (SBD) dan kaunter daftar masuk dengan bantuan terhad,” menurut kenyataan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, hanya satu kaunter daftar masuk akan beroperasi setiap hari dari jam 6 pagi hingga 8 malam sepanjang tempoh berkenaan.
Kaunter itu disediakan untuk penumpang kelas perniagaan dan penumpang keutamaan yang layak, selain turut membantu penumpang kelas ekonomi apabila perlu.
Penumpang yang memerlukan bantuan penuh bagi urusan daftar masuk boleh terus menggunakan mana-mana kaunter daftar masuk di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Mereka juga dinasihatkan supaya tiba sekurang-kurangnya tiga jam sebelum waktu berlepas bagi memastikan masa mencukupi untuk urusan daftar masuk, tapisan keselamatan dan pengesahan dokumen perjalanan.
“Malaysia Airlines kekal komited dalam menyediakan pengalaman perjalanan yang lancar serta cekap dan menghargai pemahaman penumpang serta sokongan berterusan sepanjang tempoh pelarasan sementara ini,” menurut kenyataan itu.
SUMBER;
–Bernama

