
Sekolah, tadika di Pontian ditutup ekoran jerebu
JOHOR BAHRU,. Semua sekolah dan tadika di seluruh daerah Pontian diputuskan tutup esok berikutan jerebu.
Pengarah Pendidikan Negeri Johor Azman Adnan berkata berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU 220 di daerah itu ditakrifkan sebagai tidak sihat.
Beliau berkata terdapat 100 sekolah dengan seramai 29,200 murid serta pelajar direkodkan di seluruh Pontian termasuk Kolej Vokasional Tanjung Piai.
Katanya, murid pra sekolah pula melibatkan 1,268 orang manakala murid tadika swasta seramai 2,610 orang.
“Semua ibu bapa perlu dimaklumkan bahawa murid sekolah dan tadika tidak perlu hadir ke sekolah manakala guru bertugas seperti biasa dengan menjalankan tugas-tugas lain di sekolah seperti mana kandungan surat siaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang berkaitan.
“Mohon patuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan jerebu yang dikeluarkan oleh KPM dan pihak berkuasa,” katanya menerusi kenyatan malam ini.
— BERNAMA