SIC fokus tangani defisit hasil jangka pendek

SIC fokus tangani defisit hasil jangka pendek

KUALA LUMPUR,. Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan menyusun perancangan untuk menjana pendapatan dalam tempoh sukar susulan penularan wabak COVID-19 dan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Azhan Shafriman Hanif mengakui bahawa pandemik COVID-19 dan penguatkuasaan PKP memberi impak besar ke atas pendapatan SIC sejak beberapa bulan lepas.

“Buat masa ini, keutamaan kami adalah kepada kos operasi yang agak tinggi, dan saya tidak menyalahkan keadaan semasa. Kami sedang melihat bagaimana untuk menjana pendapatan tambahan dalam masa sukar ini.

“Salah satu daripadanya adalah jalinan kerjasama dengan rakan kongsi untuk menganjurkan perlumbaan sukan bermotor secara maya. Kami juga memutuskan tiada pemotongan gaji atau pemberhentian pekerja kerana kami sediakan beberapa langkah perbelanjaan seperti pengurangan waktu bekerja hujung minggu,” katanya kepada media ketika sidang televideo hari ini.

Azhan Shafriman berkata SIC juga sedang meneliti beberapa langkah yang boleh diambil termasuk menganjurkan sukan permotoran tanpa penonton atau dianjurkan dalam skala kecil, jika kerajaan memutuskan tiada perhimpunan dilakukan dalam tempoh enam bulan akan datang.

Sementara itu, Azhan Shafriman berkata SIC akan menyelaras dana yang disalurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kepada pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah untuk menampung kos perbelanjaan semasa menyertai perlumbaan musim ini.

Beliau berkata Lembaga Pengarah SIC akan mengadakan mesyuarat tidak lama lagi bagi membincangkan mengenai pengagihan dana kepada pelumba kelahiran Selangor itu.

Baru-baru ini, KBS mengumumkan bahawa mereka akan menyerahkan bantuan kewangan untuk membantu Hafizh Syahrin meneruskan kerjayanya dalam sukan permotoran.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )