Majlis graduasi Lebih 400 wanita Wanita MyWira TalentCorp

HomeFeaturedBerita Semasa

Majlis graduasi Lebih 400 wanita Wanita MyWira TalentCorp

KUALA LUMPUR,. Lebih 400 wanita muda telah menamatkan Cohort 12 Women-Industry Network (WIN), sekali gus menjadikannya kohort terbesar setakat ini, ke

India, Malaysia akan bincang semakan perjanjian perdagangan semasa lawatan Modi
Pasangan tunang ditahan bantu siasatan kes pecah masuk rumah pempengaruh
Pengadil Somalia dinafikan masuk AS, terlepas peluang sulung Piala Dunia

KUALA LUMPUR,. Lebih 400 wanita muda telah menamatkan Cohort 12 Women-Industry Network (WIN), sekali gus menjadikannya kohort terbesar setakat ini, ketika Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) terus memperkukuh kumpulan bakat wanita masa depan negara.

Majlis graduasi yang diadakan di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam baru-baru ini,menandakan tamatnya program hibrid selama lima minggu yang dilaksanakan menerusi platform Wanita MyWira TalentCorp dengan kerjasama Project Girls4Girls Malaysia (G4G).

Program tersebut menghimpunkan pelajar universiti, pelajar TVET, graduan baharu serta golongan profesional di peringkat awal kerjaya bersama pemimpin wanita berpengalaman daripada pelbagai industri bagi membina keyakinan kerjaya, keupayaan kepimpinan serta jaringan profesional mereka.

Program itu turut menyokong aspirasi Malaysia MADANI untuk meningkatkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita kepada 60 peratus dengan mempersiapkan lebih ramai wanita untuk menyertai, berkembang dan memimpin dalam tenaga kerja.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Biruntha Mooruthi berkata WIN mencerminkan komitmen TalentCorp dalam membangunkan kumpulan bakat wanita yang lebih kukuh, di samping memperkukuh tenaga kerja masa depan Malaysia.

Beliau berkata, program itu menghubungkan wanita muda dengan pemimpin industri berpengalaman yang dapat membantu membina keyakinan, berkongsi pandangan praktikal serta mempercepatkan peralihan mereka ke alam kerjaya yang bermakna.

“Pelaburan dalam bakat wanita bukan sahaja memperkukuh kerjaya individu, malah tenaga kerja masa depan Malaysia,” katanya.

Majlis graduasi itu menandakan tamatnya enam modul kepimpinan dan kebolehpasaran, selain sesi bimbingan yang menyediakan panduan kerjaya praktikal, ilmu kepimpinan serta hubungan industri kepada para peserta.

Program berkenaan turut menangani cabaran yang dihadapi wanita muda ketika memasuki alam pekerjaan, dengan lebih tujuh daripada 10 peserta mengenal pasti kekurangan keyakinan sebagai halangan utama sebelum menyertai WIN.

Ramai peserta turut melaporkan mempunyai hala tuju kerjaya yang terhad serta kekurangan tokoh contoh.

Ketua Negara Project Girls4Girls Malaysia, Fildzah Zulkifli berkata, program tersebut terus menunjukkan impak bimbingan bermakna dan kerjasama industri dalam membangunkan pemimpin wanita masa depan.

Beliau berkata WIN diwujudkan bagi merapatkan jurang peluang dengan menyediakan wanita muda akses kepada mentor, pendedahan industri serta komuniti yang menyokong potensi mereka.

“Ini merupakan kohort terbesar kami setakat ini dan impaknya jauh melangkaui majlis graduasi,” katanya.

Peserta Cheng Choi Lam, 23, berkata program itu meluaskan perspektifnya mengenai persediaan kerjaya serta meningkatkan keyakinannya untuk mengejar peluang kepimpinan.

Siti Hajar Bahar, 27, pula menyifatkan WIN sebagai platform yang selamat dan memperkasa, yang meningkatkan keyakinan dirinya di samping membina hubungan bermakna dengan wanita lain.

Pegawai Perubatan dalam bidang Perubatan Rehabilitasi, Dr Nur Fajrina Hamid, 33, berkata program itu turut meluaskan perspektifnya mengenai bagaimana beliau boleh menyumbang di luar peranan semasanya, termasuk dalam kepimpinan penjagaan kesihatan, inisiatif komuniti dan peluang bimbingan.

Seramai 57 mentor wanita daripada pelbagai industri membimbing para peserta, dengan setiap mentor mempunyai purata kira-kira 20 tahun pengalaman profesional dan kepakaran dalam kepimpinan.

Majlis graduasi itu turut mendapat sokongan rakan industri, dengan Blood dan Moom Health menyumbangkan hadiah graduasi, manakala ThriveWell menyediakan sokongan dan sumber berkaitan kesihatan mental bagi menggalakkan kesejahteraan menyeluruh seiring dengan pembangunan profesional.

Sebagai sebahagian daripada platform Wanita MyWira TalentCorp yang lebih luas, WIN melengkapi inisiatif bagi memperkukuh penyertaan, kepimpinan dan perkembangan kerjaya wanita, di samping menyokong aspirasi Dasar Wanita Negara 2025–2030 dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita dalam membentuk tenaga kerja Malaysia yang lebih inklusif dan bersedia menghadapi masa depan.

— GERBANGPOST