KUALA LUMPUR,. Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat mencemar duli ke Majlis Pelancaran Modul Integriti Kanak-kanak (MIKa) di T
KUALA LUMPUR,. Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat mencemar duli ke Majlis Pelancaran Modul Integriti Kanak-kanak (MIKa) di Tabika Perpaduan Taman Bukit Cheras, Kuala Lumpur semalam.
MIKa merupakan satu daripada usaha dan inisiatif Institut Integriti Malaysia (IIM) dalam menanam nilai integriti dari peringkat awal pendidikan kanak-kanak.
Modul berkenaan bermatlamat untuk menjadi satu daripada modul utama pendidikan integriti di peringkat pendidikan awal kanak-kanak yang diguna pakai secara menyeluruh oleh TASKA, TADIKA dan prasekolah di seluruh negara.
Selain itu, MIKa dapat mengajar etika dan moral melalui pembinaan tingkah laku serta mengintegrasikan integriti dalam pembelajaran.
Skop MIKa diperluaskan dengan sasaran yang lebih berfokus kepada dua kategori, iaitu Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) bagi kanak-kanak berumur antara dua hingga empat tahun, manakala Taman Didikan Kanak-kanak (TADIKA) dan prasekolah melibatkan kanak-kanak berumur lima hingga enam tahun.
Sebanyak 50 TASKA dan TADIKA akan menjadi perintis kepada MIKa yang akan dilaksanakan pada Oktober ini.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menyokong sepenuhnya pelaksanaan modul berkenaan bagi menerapkan kesedaran awal mengenai kepentingan integriti terutama dalam kalangan murid dan kanak-kanak di Taska dan Tabika Perpaduan.
“Penerapan nilai integriti sejak usia kecil amat penting kerana anak-anak inilah yang bakal menjadi generasi pewaris negara.
“Justeru, pendidikan integriti dan perpaduan perlu bergerak seiring dalam membina generasi Malaysia yang bukan sahaja berakhlak, tetapi turut menjunjung keharmonian dan kemakmuran bersama,” katanya.
Kementerian Perpaduan Negara merupakan antara kementerian dan agensi yang terlibat secara langsung dalam pembangunan MIKa, selain Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta Universiti Selangor (UNISEL).
Pembangunan modul itu turut melibatkan badan bukan kerajaan seperti Persatuan Tadika Malaysia (PTM), Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-kanak Berdaftar Malaysia (PPBM) serta Persatuan Tadika Islam Malaysia (PERTIM).
— GERBANGPOST

