S.M.A.R.T Niaga@perak bantu peniaga pasar produk ke peringkat antarabangsa

S.M.A.R.T Niaga@perak bantu peniaga pasar produk ke peringkat antarabangsa

IPOH,. Peniaga di Perak kini berpeluang memasarkan produk mereka ke peringkat antarabangsa menerusi inisiatif e-dagang S.M.A.R.T Niaga@Perak yang diwujudkan kerajaan negeri sempena Hari Raya Aidilfitri selain sebagai usaha mengawal penularan wabak COVID-19.

Inisiatif itu dilaksanakan menerusi Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak) dengan kerjasama syarikat pengendali platform e-dagang Shopee Malaysia (Shopee), Lazada Malaysia (Lazada) dan syarikat pengendali bayaran ‘e-dompet’ Axiata Digital Ecode Sdn Bhd melalui aplikasi Boost.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata peniaga yang berminat boleh mula mendaftar melalui digital.perak.my/smartniaga sehingga hujung tahun ini untuk pelbagai kategori seperti pakaian, kuih dan biskut raya, barangan kecantikan serta perhiasan rumah.

Nolee Ashilin yang memangku portfolio Komunikasi dan Multimedia negeri berkata menerusi inisiatif itu, Lazada menawarkan pengecualian yuran penyenaraian, yuran komisen serta caj transaksi selama 30 hari bagi peniaga baharu di bawah Pakej Kedai Pintar Lazada.

“Shopee pula melalui pakej sokongan digitalisasi ‘Shopee Seller’, mengecualikan yuran komisen serta menawarkan baucar berjumlah RM400, kredit iklan ‘My Ads’ sebanyak RM200 dan penghantaran percuma bagi pembelian minimum RM19 selama dua minggu kepada para peniaga baharu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menerusi aplikasi Boost, peniaga dapat memberi pilihan kepada pembeli membuat pembayaran tanpa tunai di premis-premis peniaga bagi menggalakkan pembelian dan pembayaran tanpa sentuh.

Mengulas lanjut, Nolee Ashilin berkata Lazada dan Shopee turut mewujudkan satu laman khas kepada peniaga di negeri ini terutamanya mereka yang berdaftar melalui inisiatif S.M.A.R.T Niaga@Perak.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )