PUTRAJAYA,. Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Arkib Negara Malaysia (ANM) akan menganjurkan Program Mengenang Negarawan Tun Abdul Razak: 'Ark
PUTRAJAYA,. Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Arkib Negara Malaysia (ANM) akan menganjurkan Program Mengenang Negarawan Tun Abdul Razak: ‘Arkitek Pembangunan Negara Bangsa’ pada 8 September ini.
Program yang berlangsung di Memorial Tun Abdul Razak, Jalan Perdana, Kuala Lumpur itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penganjuran program berkenaan merupakan sebahagian daripada pengisian Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, selain mencerminkan komitmen berterusan KPN untuk mengangkat serta menghayati legasi dan sumbangan tokoh negarawan yang banyak berjasa kepada negara.
Majlis Mengenang Negarawan yang diadakan setiap tahun menjadi wadah untuk mengangkat dan menghayati legasi serta sumbangan besar tokoh negarawan kepada negara.
Bagi Tun Abdul Razak, sumbangannya dikenang menerusi usaha meletakkan asas kukuh pembangunan negara, perpaduan rakyat dan pembinaan negara bangsa.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata, sejarah bukan sekadar untuk dikenang, sebaliknya perlu dihayati dan dijadikan pedoman untuk masa hadapan.
“Sejarah bukan sekadar untuk dikenang, tetapi untuk dihayati dan dijadikan pedoman. Legasi para negarawan terdahulu bukan sekadar tinggalan masa lalu, tetapi merupakan living legacy yang terus hidup melalui nilai, pemikiran dan perjuangan yang diwariskan kepada kita.
“Generasi muda perlu mengenali sejarah dan memahami legasi ini agar mereka bukan sahaja tahu dari mana kita bermula, tetapi juga jelas ke mana kita harus melangkah sebagai sebuah negara bangsa,” katanya.
Program berkenaan turut menampilkan pelbagai pengisian bagi memberi peluang kepada orang ramai mengenali dengan lebih dekat kehidupan, sumbangan dan legasi Tun Abdul Razak.
Antara pengisian utama ialah sesi pengkisahan oleh anakanda Tun Abdul Razak, Dato’ Sri Mohamed Nizam Tun Abdul Razak, yang akan berkongsi perspektif peribadi mengenai negarawan berkenaan serta sumbangannya kepada negara.
Program itu turut menampilkan Sesi Bicara Negarawan yang melibatkan tokoh terkemuka negara iaitu Tun Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Dato’ Sri Mohamed Nazir Tun Abdul Razak.
Peserta juga berpeluang mengunjungi Memorial Tun Razak sebagai sebahagian daripada program tersebut.
Selain menjadi medan mengenang jasa, program berkenaan diharap dapat menghimpunkan rakyat Malaysia menerusi penghargaan bersama terhadap sejarah negara dan tokoh yang menyumbang kepada pembangunan negara bangsa.
KPN mengalu-alukan orang ramai daripada pelbagai latar belakang untuk hadir dan memeriahkan program berkenaan.
Penyertaan masyarakat dijangka dapat menyemarakkan semangat kebersamaan, memperkukuh hubungan antara rakyat serta menyuburkan nilai perpaduan dan keharmonian.
Melalui program itu, KPN berharap masyarakat dapat bersama-sama mengenali sejarah, menghayati perjuangan serta menelusuri legasi negarawan yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara bangsa.
— GERBANGPOST

