PUTRAJAYA,. Kompleks Perpaduan Negeri Perlis dijangka siap pada 19 Okt ini, sekali gus menjadi pusat sehenti bagi pelaksanaan perkhidmatan, pendidikan
PUTRAJAYA,. Kompleks Perpaduan Negeri Perlis dijangka siap pada 19 Okt ini, sekali gus menjadi pusat sehenti bagi pelaksanaan perkhidmatan, pendidikan dan program kemasyarakatan berteraskan perpaduan.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan hari ini memaklumkan pembangunan kompleks itu adalah antara usaha Kerajaan MADANI dalam memperkukuh infrastruktur dan ekosistem perpaduan negara, khususnya di peringkat negeri dan komuniti.
“Kompleks ini adalah Kompleks Perpaduan kedua yang dibangunkan sebagai pusat sehenti bagi pelaksanaan perkhidmatan, pendidikan dan program kemasyarakatan berteraskan perpaduan.
“Projek yang dimulakan pada 20 Feb 2024 akan merangkumi Pejabat Perpaduan Negeri, TASKA Perpaduan, TABIKA Perpaduan, Pusat Mediasi Komuniti, Pusat Rukun Tetangga, Dewan Gunasama serta Perpustakaan Mini,” katanya.
Beliau berkata pembangunan ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk menyediakan ruang yang mempertemukan masyarakat, memperluas interaksi antara komuniti serta memupuk persefahaman, keharmonian dan rasa kebersamaan.
“Usaha ini selari dengan aspirasi Pembinaan Negara Bangsa yang menjadi antara agenda utama Kementerian Perpaduan Negara,” katanya.
Aaron berkata Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh usaha berkenaan menerusi perancangan pembangunan Kompleks Perpaduan ketiga di Bukit Besar, Kuala Terengganu pada 2027 di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
“Pembangunan kompleks ini akan terus menjadi platform strategik dalam mendekatkan agenda perpaduan kepada rakyat serta membina Malaysia yang lebih bersatu, harmoni dan inklusif,” katanya.
— BERNAMA

