
Ada rancangan bina hotel mewah di Pulau Bidong – saksi
KUALA LUMPUR,. Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi menegaskan ada rancangan untuk membina sebuah hotel mewah di Pulau Bidong dalam cadangan projek 1MDB walaupun beliau tidak pernah menjejak kaki ke pulau kecil di luar pantai Terengganu itu.
Dalam keterangan pada kes perbicaraan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, Shahrol Azral, 49, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau ditunjukkan beberapa pelan projek pembangunan hartanah pada peringkat awal usaha sama dengan Kumpulan Mubadala dari Abu Dhabi, Emeriah Arab Bersatu (UAE).
Disoal oleh peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, katanya, beliau telah melihat rajah Pulau Bidong khususnya di mana hotel mewah itu akan dibina dan mengingati ada perbincangan mengenai projek itu dengan CEO Mubadala Real Estate & Hospitality, John Thomas.
“Pada masa itu, saya fikir ia adalah satu projek yang nyata,” kata saksi pendakwaan kesembilan itu pada hari ke-19 perbicaraan bekas perdana menteri itu.
Muhammad Shafee kemudian bertanya sama ada beliau mengubah fikirannya mengenai kewujudan projek tersebut dengan saksi menjawab: “Sehingga kini tiada apa yang berlaku di sana.”
Muhammad Shafee: Mereka tidak juga melakukan kajian (mengukur tanah) pada cadangan projek itu ?
Shahrol Azral: Saya fikir cadangan itu sudah pun ada beberapa kajian.
Muhammad Shafee: Anda pergi ke Bidong?
Shahrol Azral: Tidak.
Muhammad Shafee: Anda sebagai CEO tidak pernah ke Bidong ?
Shahrol Azral: Tidak pernah.
Muhammad Shafee kemudian memetik sebuah penerbitan di The Edge Market pada 25 Mei 2009, dengan memetik satu artikel Bloomberg yang menyatakan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) Berhad, pelopor 1MDB dan Mubadala Development Co dalam kenyataan bersama telah membincangkan peluang dalam industri minyak dan gas dan Mubadala telah menyatakan minat terhadap peluang hartanah.
Muhammad Shafee: Dalam artikel itu, Mubadala, bagaimanapun, berkata ia tidak bersetuju untuk melabur US$1.8 bilion (RM6.26 bilion) dalam projek hartanah Malaysia di Terengganu. Kenyataan Mubadala dikeluarkan sebagai respons terhadap kenyataan anda ?
Shahrol Azral: Saya tidak bersetuju. Jika anda membaca ayat itu, saya rasa mereka mahu menjelaskan bahawa mereka tidak bersetuju dengan jumlah itu (US$1.8 bilion).
Muhammad Shafee: Tetapi inilah yang dikatakan Mubadala.,.kenyataan itu dikeluarkan berkaitan kenyataan anda mengenai Pulau Bidong.
Shahrol Azral: Tetapi saya juga bertemu dengan CEO Mubadala Real Estate & Hospitality.
Muhammad Shafee: Adakah keputusan dibuat?
Shahrol Azral: Tidak kerana ia masih di peringkat awal dan sebab itu mereka tidak boleh melabur kerana tidak mempunyai wang.
Ditanya oleh Muhammad Shafee sama ada kedua-dua pihak tidak pernah menandatangani sebarang Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung projek tersebut, saksi itu menjawab ‘Betul’.
Shahrol Azral juga berkata beliau tidak mempunyai bukti bahawa Najib mengetahui mengenai salah laku ahli perniagaan dikhendaki polis, Low Taek Jho atau Jho Low mengenai cadangan pembangunan Pulau Bidong.
Muhammad Shafee: Tidak ada bukti. Adakah anda mempunyai sebarang idea bahawa ketika itu Jho Low membuat keuntungan secara rahsia?
Shahrol Azral: Saya tidak tahu.
Muhammad Shafee: Berdasarkan apa yang anda tahu sekarang, bolehkah anda mengatakan bahawa PM (ketika itu) terbabit dalam hal ini?
Shahrol Azral: Saya tidak tahu. Saya tidak boleh membuat spekulasi.
Muhammad Shafee: Saya nyatakan kepada anda bahawa Jho Low adalah penyangak yang bertindak secara sendirian kerana dia menipu semua orang. Dia juga menipu awak!
Shahrol Azral: Saya tidak mempunyai maklumat yang cukup.
Najib, 66, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.
— BERNAMA