Aerodyne akan bangunkan penyelesaian untuk industri telekomunikasi

Aerodyne akan bangunkan penyelesaian untuk industri telekomunikasi

KUALA LUMPUR,. Penyedia perkhidmatan dron dipacu kecerdasan buatan (AI) tempatan Malaysia, Aerodyne Group, bakal membangunkan penyelesaian spesifik untuk meningkatkan kecekapan operasi industri telekomunikasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kamarul A. Muhamed berkata industri telekomunikasi telah mengurangkan risiko keselamatan dengan mengeluarkan keperluan untuk juruteknik melakukan pendakian menara dan menjalankan pemeriksaan peralatan secara manual.

“Industri ini mempunyai impak signifikan terhadap ekonomi, di mana nilai sebenar boleh diterokai,” katanya pada taklimat media di sini, hari ini.

Usaha sama Aerodyne dengan syarikat perkhidmatan infrastruktur bersepadu, edotco Group Sdn Bhd, telah meraih banyak manfaat merangkumi pelbagai bidang, termasuk penambahbaikan 50 peratus dalam masa laporan dan pengurangan 35 peratus dalam masa pemeriksaan menyeluruh hasil daripada pengumpulan data lebih cepat dan penjanaan laporan.

Ketua perkhidmatan kecemerlangan Edotco Ashok Muthu berkata keupayaan Aerodyne di udara telah meningkatkan keupayaan dalam operasi hariannya seperti audit tapak infrastruktur, tinjauan penyelenggaraan pencegahan rutin, penilaian rangkaian kerja dan pemantauan jaminan pendapatan.

Sementara itu, Kamarul berkata industri dron global telah mengalami penyelarasan, dengan beberapa syarikat dron yang telah beroperasi untuk jangka masa lama telah diambil alih atau gulung tikar.

“Tetapi bukan kami. Kami terus berkembang kukuh,” katanya dan menurutnya Aerodyne diletakkan pada ranking ketiga dalam kalangan penyedia perkhidmatan dron global pada tahun ini oleh DRONEII berbanding berada dalam senarai tujuh teratas pada tahun lepas.

Ranking itu ditentukan berdasarkan saiz syarikat, perkongsian pasaran dan tumpuan awam sebagai kayu pengukur utama, menurut laman web DRONEII yang juga berkata kedudukan Aerodyne meningkat hasil perkongsian strategiknya di seluruh dunia.

Kamarul berkata Aerodyne menyasarkan untuk mengambil alih tiga lagi syarikat dron dalam usahanya untuk berkembang ke dalam industri yang kukuh seperti kejuruteraan, perlombongan, pengangkutan penghantaran, kecemasan serta minyak dan gas.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan butiran lanjut, termasuk jangka masa.

Setakat 2018, Aerodyne telah menyiapkan lebih 62,500 operasi penerbangan, memeriksa lebih 265,500 aset dan melakukan tinjauan ke atas infrastruktur kuasa lebih 55,000 km.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS Wordpress (0) Disqus (0 )