AGC terima representasi CEO GISB dan 21 individu lain, tawar pertuduhan pilihan

HomeFeaturedBerita Semasa

AGC terima representasi CEO GISB dan 21 individu lain, tawar pertuduhan pilihan

KAJANG,. Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima representasi dikemukakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) Nasiruddin Moh

KKDW tidak belanja melebihi peruntukan diluluskan – Ahmad Zahid
Banjir di Perlis, Pahang hampir pulih, mangsa di Perak, Selangor terus menurun
Negara Eropah pantau kes hantavirus dikaitkan dengan kapal persiaran, WHO gesa orang ramai bertenang

KAJANG,. Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima representasi dikemukakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) Nasiruddin Mohd Ali dan 21 individu lain, untuk mengkaji pertuduhan dihadapi mereka atas dakwaan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Shafiq Hasim memaklumkan perkara itu ketika prosiding kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Seri Latifah Mohd Tahar, yang bersidang di Kompleks Penjara Kajang, hari ini.

Shafiq yang mengendalikan kes bersama TPR Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim berkata pihak AGC telah meneliti dan menerima representasi berkenaan, serta menawarkan pertuduhan pilihan terhadap kesemua tertuduh di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

“Memandangkan perkara ini baru dimaklumkan kepada peguam bela, pendakwaan memohon agar mahkamah menetapkan tarikh baharu dalam masa terdekat,” katanya yang tidak mendedahkan secara terperinci butiran pertuduhan pilihan itu.

Peguam Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili kesemua tertuduh, mengesahkan pihaknya telah dimaklumkan mengenai representasi berkenaan dan berterima kasih kepada AGC atas peluang yang diberikan kepada kesemua anak guamnya.

Hakim Latifah kemudian menetapkan 7 Nov ini untuk sebutan semula kes dan pada tarikh sama juga, pertuduhan pilihan akan dibacakan kepada kesemua tertuduh.

Ditemui pemberita selepas prosiding, Rosli berkata pihaknya telah menghantar representasi kepada AGC pada 26 Mei, yang mencadangkan beberapa pertuduhan antaranya di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

“Kami telah berbincang dengan kesemua anak guam dan mereka akan menerima pertuduhan pilihan itu. Kami akan membuat mitigasi dan menyerahkan kepada mahkamah untuk pertimbangan,” katanya yang turut dibantu peguam Muhammad Zaim Rosli dan Boestamam Ahmad.

Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966, adalah berhubung kesalahan bagi mana-mana orang yang menganggotai pertubuhan yang menyalahi undang-undang, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah sebelum ini menetapkan perbicaraan kes itu bermula 17 hingga 21 Nov ini.

Pada 23 Okt 2024, Nasiruddin, 66, isterinya Azura Md Yusof, 58, dan 20 individu lain didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang, atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di sebuah premis di Bandar Country Homes, Rawang antara Oktober 2020 hingga 11 Sept 2024.

Turut didakwa bersama Nasiruddin dan Azura ialah anak bekas pengasas Al-Arqam Ashaari Muhammad iaitu Mohammad Adib At-Tamimi, 33.

Tertuduh lain ialah Mohd Shukri Mohd Noor, 54; Muhammad Afdaluddin Latif, 35; Mohamad Sayuti Omar, 36; Mohd Fazil Md Jasin, 58; Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 35; Mokhtar Tajuddin, 61; Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29; Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 35; Shuhaimi Mohamed, 57; Hasnan Abd Hamid, 54; dan Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 52.

Turut dituduh dalam kes itu ialah Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28; Nur Jannah Omar, 33; Hamimah Yakub, 72; Asmat@Asmanira Muhammad Ramly, 45; Nurul Jannah Idris, 29; Siti Salmiah Ismail, 58; Siti Hajar Ismail, 52; dan Mahani Kasim, 55.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan dengan kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk dibicarakan.

— BERNAMA