AHLI PERNIAGAAN WARGA SINGAPURA DIDAKWA PECAH AMANAH 500,000 UNIT SAHAM

HomeFeaturedJenayah

AHLI PERNIAGAAN WARGA SINGAPURA DIDAKWA PECAH AMANAH 500,000 UNIT SAHAM

KUALA LUMPUR,. Ahli perniagaan warga Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah memba

Cuaca panas berpanjangan berisiko jejas keseimbangan ekosistem
Lima ditahan dalam siasatan penipuan lebih AS$1.1 juta babitkan kapal tentera NATO
Bursa dibuka tinggi pada pagi ini

KUALA LUMPUR,. Ahli perniagaan warga Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan 500,000 unit saham milik sebuah syarikat, empat tahun lepas.

Poh Po Lian, 68, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Mengikut pertuduhan, Poh bersama-sama seorang lagi individu yang masih bebas didakwa melakukan pecah amanah jenayah ke atas saham Victoria Island Club Berhad berkenaan yang diamanahkan kepada mereka oleh Tan Sri Ta Kin Yan, dengan memindahkannya kepada Jennifer Kok Sau Keng tanpa persetujuan enam individu yang sepatutnya menerima sebahagian saham itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kediaman di Solaris Dutamas, Jalan Dutamas 1 dekat sini pada 31 Julai 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Dr Ifa Sirrhu Samsudin menawarkan jaminan RM1 juta dengan dua penjamin, termasuk seorang penjamin warganegara dengan alamat tetap di Malaysia.

“Pendakwaan juga mengesyorkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri sebulan sekali di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdekatan serta dilarang mengganggu saksi dalam kes ini.

“Pihak kami tidak berhasrat memohon supaya pasport tertuduh ditahan memandangkan dia merupakan warga asing dan pasport ialah dokumen penting untuk membolehkannya berulang-alik ke Singapura. Atas faktor itu, kami berpendapat jumlah jaminan RM1 juta adalah wajar,” katanya.

Peguam Datuk Jerald Gomez yang mewakili Poh memohon supaya jaminan ditetapkan pada kadar lebih rendah atas alasan anak guamnya memiliki pas di bawah program Malaysia My Second Home (MM2H) kerana telah menetap dan menjalankan perniagaan di Malaysia selama lebih 30 tahun.

“Anak guam mempunyai pelbagai syarikat dan aset di Malaysia. Beliau juga memiliki hartanah di lokasi strategik di negara ini, termasuk di Pavilion Bukit Bintang dan Pulau Pinang. Anak guam tidak berisiko melarikan diri,” katanya.

Hakim Rosli membenarkan tertuduh diikat jamin RM400,000 dengan dua penjamin warganegara serta menetapkan syarat tambahan supaya tidak mengganggu saksi pendakwaan dan melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM berdekatan.

Mahkamah menetapkan 8 Dis depan untuk sebutan semula kes.

— BERNAMA