Ahli sindiket pemerdagangan migran ditembak mati
KUALA LUMPUR,. Seorang lelaki warga tempatan yang disyaki ahli sindiket pemerdagangan manusia warga asing mati ditembak polis di Jalan Bandar 10, Puchong dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam itu, lelaki terbabit dikatakan membawa lapan pendatang tanpa izin rakyat Myanmar dengan menaiki kereta jenis Perodua Alza.
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata polis melepaskan dua das tembakan selepas lelaki terbabit merempuh anggota polis yang menahan kereta itu.
Tembakan itu menyebabkan lelaki terbabit mati di tempat kejadian manakala seorang daripada rakyat asing itu cedera.
“Kes ini melibatkan penyeludupan migran. Susulan itu, lapan pendatang tanpa izin dalam kereta itu ditahan termasuk seorang yang cedera ditembak,” katanya ketika dihubungi.
— BERNAMA