Air tangan penghuni Puspen pikat penggemar tart nanas

Air tangan penghuni Puspen pikat penggemar tart nanas

JELEBU,. Sepertimana tahun-tahun sebelumnya menjelang ketibaan hari lebaran, kuih tart nanas yang dihasilkan penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) adalah antara yang menjadi pilihan ramai, dan jumlah tempahan yang diterima setiap tahun sentiasa terus meningkat.

Rasanya yang enak dan teksturnya yang gebu dan cair di mulut, ditambah pula ia dihasilkan secara homemade bermula dari proses penanaman nanas sehingga penghasilan inti oleh penghuni pusat berkenaan, menjadikan tart nanas jenama Bakeri Titi Gold ini mempunyai ramai peminat.

Seorang pelanggan yang tinggal berhampiran Puspen Jelebu, Noraini Zamani, 38, berkata beliau jatuh cinta dengan keenakan tart nanas itu selepas mencubanya buat kali pertama pada tahun lepas selepas menerima buah tangan daripada rakannya.

“Saya bukanlah penggemar tart nanas sangat, tapi lepas makan tart yang dihasilkan pelanggan di sini saya rasa sedap sampai saya tak berhenti makan. Inti tak kedekut, tebal dan rasa nanas sangat kuat, tahun ini memang tak cari lain saya akan tempah di sini,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Seorang lagi penggemar tart nanas yang ditemui, pekerja swasta Siti Azura Azam, 45, mengaku tart yang dihasilkan penghuni Puspen itu nyata berbeza dan mempunyai kelasnya tersendiri kerana pastrinya yang tidak rapuh dan berlemak selain harga yang murah.

Sementara itu salah seorang daripada tenaga kerja yang bertanggungjawab menghasilkan tart itu yang dikenali sebagai Fadil, 34, berkata beliau mengambil masa seminggu untuk betul-betul mahir menghasilkan tart berkenaan yang diajar dan dipantau oleh penyelia Puspen bagi memastikan resepinya tidak berubah dan berada pada tahap terbaik dalam mengekalkan kualitinya.

Pemuda dari Terengganu yang pernah terjebak dengan dadah akibat terpengaruh dengan rakan itu berkata, meskipun kerja itu mungkin dianggap senang oleh sesetengah orang, namun sebenarnya mereka perlu lebih teliti termasuk memastikan ukuran intinya sekata.

“Alhamdulillah kalau tidak dimasukkan ke sini saya mungkin masih belum pulih… program yang ada di sini benar-benar membantu kami pulih… di luar kalau nak cuba pulih sendiri mungkin agak sukar sebab kita sendirian, bila-bila masa boleh terjerumus lagi.

“Memang tak terfikir akan buat tart, biasanya perempuan je (yang buat). Di sini kita ada beberapa projek dan saya memilih untuk membuat tart, saya mahu belajar benda baharu dan boleh guna kemahiran itu juga lepas keluar nanti… permintaan tart untuk musim raya memang tinggi, kami kerja enam hari seminggu,” katanya yang sudah setahun berada di Puspen.

Pengarah Puspen Jelebu Norasiken Ahmad ketika dtemui berkata tempahan diterima pihaknya sempena Aidilfitri tahun ini meningkat hampir 80 peratus, berbanding tahun lepas dengan hasil jualan melebihi RM32,000 yang dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Puspen Jelebu, sekali gus menunjukkan kepercayaan dan sambutan baik daripada masyarakat.

“Pada hari biasa hanya lapan orang yang mengusahakan tart di bakeri ini, tetapi menjelang Aidilfitri kita tambah sehingga 15 orang memandangkan tempahan tinggi yang diterima, dan mereka bekerja lebih masa dari 7.30 pagi hingga 5 atau 6 petang… mereka memang tidak menang tangan menyiapkan tempahan.

“Selain menggunakan bahan premium, keistimewaan tart nanas ini adalah intinya yang dibuat daripada buah nanas jenis MD2 yang ditanam sendiri di sini. Harga pula lebih murah iaitu hanya RM30 sebekas yang mengandungi 50 biji tart,” katanya menambah tempahan turut diterima secara dalam talian, pos dan program korporat.

Beliau berkata selain tart nanas yang menjadi produk utama, Bakeri Titi Gold turut menghasilkan tart blueberry, rossel, nyonya, dahlia dan strawberi, selain cookies red velvet dan chocolate chip serta jus dan aiskrim nanas.

Mengenai perancangan masa depan, Norasiken berkata pihaknya akan menambah pengiktirafan bagi projek pertanian terkini iaitu tanaman koko dan pisang dari Jabatan Pertanian dan Malaysian Good Aquaculture Practice (MyGAP) sekali gus berhasrat menjadikan coklat antara produk utama Puspen.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )