
AirAsia, Zer0Hunger bekerjasama bantu masyarakat orang asli di Sungai Gabai
KUALA LUMPUR,. AirAsia menjalin kerjasama dengan Zer0Hunger, platform tindakan impak sosial lestari, menerusi pemberian bekalan pek nilai airasia grocer bagi membantu kalangan masyarakat Orang Asli di kawasan Sungai Gabai, Hulu Langat, pada 17 Oktober lepas.
Dalam kenyataan pada Jumaat, AirAsia berkata lawatan tersebut diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Limited Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif airasia farm Joanna Ibrahim dan Lim Ben-Jie yang merupakan Ketua e-Dagang airasia Super App bersama Zer0Hunger.
Mengulas usaha itu, Bo berkata lawatan tersebut bertujuan menyalurkan akses makanan berkhasiat kepada komuniti berpendapatan rendah serta di luar bandar.
“Justeru, kami menyediakan pek istimewa airasia grocer untuk menyediakan makanan berkhasiat untuk menambah baik kesihatan dan kesejahteraan mereka.
“Malah, usaha membantu golongan memerlukan ini adalah sejajar dengan jenama AirAsia dan berharap kerjasama dengan Zer0Hunger ini akan memberi harapan kepada komuniti Orang Asli yang terkesan akibat COVID-19,” katanya.
Sementara itu, Pengasas Bersama Zer0Hunger Nik Adina Taty Zainin berkata inisiatif itu turut menyediakan makanan ‘Goodness Bars’ serta pek makanan berkhasiat kepada kanak-kanak yang kekurangan zat makanan.
“Ini merupakan satu pembaharuan dalam usaha mengatasi isu kelaparan dan makanan berkhasiat,” katanya.
Pada program itu, pasukan airasia grocer menyumbang lebih 70 Pek Nilai Kita Jaga dan Pek Nilai Edisi Terhad Kanak-kanak bagi membantu komuniti memerlukan selain pemeriksaan perubatan oleh kumpulan profesional kesihatan daripada Pusat Pakar Universiti Malaya.
Maklumat lanjut mengenai sumbangan tersebut boleh didapati di [email protected].
— BERNAMA