TANJUNG KARANG,. Agrobank telah melancarkan Akaun Simpanan AGROKorban-i, produk deposit patuh Syariah yang diperkenalkan bagi membantu komuniti Islam
TANJUNG KARANG,. Agrobank telah melancarkan Akaun Simpanan AGROKorban-i, produk deposit patuh Syariah yang diperkenalkan bagi membantu komuniti Islam membuat persediaan kewangan secara lebih terancang untuk melaksanakan ibadah korban.
Produk baharu itu membolehkan pelanggan memulakan simpanan dengan pembukaan akaun serendah RM20, sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk menabung secara berperingkat sehingga mencapai sasaran simpanan bagi tujuan ibadah korban.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, ibadah korban bukan sahaja memerlukan keikhlasan dan kemampuan, malah turut menuntut perancangan kewangan yang baik.
“Ibadah korban bukan sahaja menuntut keikhlasan dan kemampuan, malah memerlukan perancangan kewangan yang baik. Melalui Akaun Simpanan AGROKorban-i, Agrobank ingin membantu pelanggan membina tabungan secara konsisten agar hasrat untuk menunaikan ibadah korban dapat direalisasikan dengan lebih mudah,” katanya.
Beliau berkata, Akaun Simpanan AGROKorban-i diperkenalkan sebagai sebahagian daripada usaha Agrobank menyediakan penyelesaian kewangan yang bukan sahaja praktikal, tetapi turut memupuk budaya menyimpan secara lebih bermatlamat.
Menurutnya, inisiatif itu bukan sahaja memberi manfaat kepada individu, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan keluarga dan komuniti.
“Bagi permulaan, Agrobank menyasarkan sebanyak 5,000 bahagian korban dapat dilaksanakan pada tahun depan menerusi Akaun Simpanan AGROKorban-i di seluruh cawangan,” katanya.
Majlis pelancaran Akaun Simpanan AGROKorban-i telah disempurnakan oleh Ahmad Badli Shah di Agrobank Cawangan Tanjung Karang, Selangor, semalam bersempena program Agro Korban 2026.
Program tersebut merupakan inisiatif tahunan Agrobank dalam menyantuni komuniti melalui pelaksanaan ibadah korban serta pengagihan daging korban kepada masyarakat setempat.
Sebarang maklumat lanjut mengenai Akaun Simpanan AGROKorban-i, sila layari laman web Agrobank di www.agrobank.com.my atau kunjungi cawangan Agrobank berdekatan.
–GERBANGPOST

