
Alliance Bank sasar pinjaman PKS berjumlah RM200 juta menerusi kerjasama Celcom
PETALING JAYA,. Alliance Bank Malaysia Bhd, bank terkecil Malaysia dari segi saiz aset, menjangkakan kerjasamanya dengan Celcom Axiata Bhd dapat menjana RM200 juta dalam bentuk pembiayaan daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Alliance Joel Kornreich berkata pihaknya bekerjasama dengan pengendali rangkaian mudah alih swasta terbesar negara untuk menawarkan pembiayaan kesalinghubungan termasuk semua dan bebas gangguan.
“Kami telah melepasi RM9 bilion bagi pemberian pinjaman PKS dan kami jangka RM200 juta akan dicatatkan daripada kerjasama ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman di sini hari ini.
Celcom diwakili oleh CEO Idham Nawawi.
Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Celcom Azlan Zainal Abidin dan Ketua Pegawai Strategi dan Pemasaran Kumpulan Alliance Dr Aaron Sum Wei Wern.
Kornreich berkata pembiayaan itu bertujuan membantu PKS menguruskan perniagaan mereka dengan lebih baik seiring dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan sumbangan sektor berkenaan kepada ekonomi negara, iaitu kepada 50 peratus menjelang 2030 daripada 37 peratus pada masa ini.
“Kami percaya ia akan meningkat sehingga 40 peratus pada 2020 atau 2021 tetapi sasaran 50 peratus hanya akan menjadi kenyataan sekiranya PKS mempunyai tahap persaingan setara selain melengkapkan mereka secara lebih baik untuk PKS menguruskan perniagaan dan berkembang pantas,” katanya
Berliau berkata susulan kerjasama itu, ‘Celcom Business Suite for Retail’ yang baru dilancarkan kini dilengkapi dengan pakej ‘Pembiayaan Alliance SME Express’ yang memenuhi keperluan peruncit, di samping menyediakan kesalinghubungan mudah alih dan data, penerimaan pembayaran dan platform penglibatan pelanggan.
Kornreich berkata para peniaga kini boleh mendapatkan pembiayaan dari bank itu dengan lebih cepat, mudah dan tanpa memerlukan cagaran.
Pelanggan yang mengambil pakej tersebut juga akan menikmati nilai harga lebih baik bagi pelan telekomunikasi mereka dan kadar keutamaan daripada bank itu.
Bagi enam bulan pertama bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2020, pinjaman PKS Alliance Bank meningkat 10 peratus tahun ke tahun.
Sementara itu, Idham berkata Celcom mahu memupuk persekitaran budaya perniagaan digital dalam kalangan PKS merentasi pelbagai industri.
Beliau berkata ‘Celcom Business Suite for Retail’ digandingkan dengan penyelesaian pembiayaan Alliance Bank, akan mengurangkan jurang perniagaan digital menerusi penyelesaian digital inovatif dan kemudahan pembiayaan dalam satu pakej.
“Kami berharap segmen perusahaan kami menyumbang 15 hingga 20 peratus kepada perolehan kumpulan dalam tempoh 2 hingga 3 tahun akan datang berbanding 10 peratus pada masa ini,” katanya.
— BERNAMA