Ancelotti mengamuk Stadium San Paolo tak sempurna

Ancelotti mengamuk Stadium San Paolo tak sempurna

NAPLES,. Carlo Ancelotti berang dan membidas pihak berkuasa tempatan bandaraya itu berhubung kerja naik taraf di Stadium San Paolo, yang didakwanya dilakukan secara semberono sekali gus menyebabkan bilik persalinan pemainnya tidak dilengkapi kemudahan sepatutnya.

Selepas memulakan dua aksi awal Serie A di gelanggang lawan, Napoli dijadual berdepan Sampdoria di San Paolo Sabtu ini sebelum berkunjung ke Liverpool untuk saingan Liga Juara-Juara tiga hari kemudian.

Namun Ancelotti mendakwa kerja naik taraf stadium itu tidak menepati syarat dijanjikan bahkan menuduh pihak berkuasa tempatan Bandaraya Naples, yang memiliki gelanggang itu tidak menunjukkan rasa hormat ke atas kelab itu.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik ke laman web kelab, Ancelotti berkata: “Saya sudah melihat keadaan bilik persalinan San Paolo. Tiada apa-apa.

“Saya terima permintaan kelab untuk bermain dua aksi di gelanggang lawan bagi membolehkan kerja naik taraf itu disiapkan seperti dijanjikan. Dalam dua bulan kamu boleh menyiapkan sebuah rumah – mereka tidak mampu mengubahsuai bilik persalinan!

“Ke mana kami akan bersalin pakaian ketika berdepan Sampdoria dan Liverpool?”

Mengikut pelan asal, kerja naik taraf itu merangkumi pemasangan sebuah skrin besar, naik taraf lampu limpah serta pemasangan sistem amaran baharu termasuk ubah suai bilik persalinan.

Namun pihak berkuasa bandaraya berkenaan menafikan kegagalan menyiapkan keseluruhan kerja berkenaan akan menjejaskan persiapan Napoli meskipun kenyataan itu segera dibidas Ancelotti.

“Saya memang berang dengan mereka yang melakukan kerja yang tidak menepati syarat itu,” katanya.

“Macam mana pegawai pihak berkuasa, majlis bandaran dan komisioner yang menyelia kerja ini boleh bersekongkol dengan komitmen seperti ini?

“Saya anggap mereka cuba menghina dan tiada semangat cintakan pasukan ini. Saya amat kesal.” – Agensi

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )