
Andreescu tak pertahan gelaran Terbuka AS
MONTREAL: Juara bertahan, Bianca Andreescu berkata dia tidak akan mempertahankan gelarannya pada saingan Terbuka Amerika Syarikat (AS) tahun ini selepas sukar untuk membuat persiapan susulan pandemik COVID-19.
Pemain dari Kanada berusia 20 tahun itu yang menewaskan Serena Williams dalam aksi final tahun lalu, berkata dia mahu fokus membina semula tahap kecergasannya.
“Saya hanya akan kembali menyertai kejohanan apabila berada pada tahap prestasi terbaik,” katanya.
Keputusan itu menyaksikan kejohanan akan berlangsung tanpa dua juara pada edisi 2019 selepas Rafael Nadal turut mengesahkan dia tidak akan menyertai Terbuka AS tahun ini kerana bimbang dengan ancaman COVID-19.
Saingan Terbuka AS akan berlangsung di New York bermula 31 Ogos ini. – AFP