Anugerah Maxis umum pemenang kumpulan pertama dengan projek tema hijau

Anugerah Maxis umum pemenang kumpulan pertama dengan projek tema hijau

KUALA LUMPUR,. Projek Benih oleh Pusat Penyelidikan dan Pemuliharaan Hutan Tropika (TRCRC) dan Projek ERTH oleh Blue Bee Technologies muncul sebagai pemenang pertama Anugerah Maxis dengan idea yang memberi inspirasi serta penyelesaian ke arah pemuliharaan alam dan kelestarian perniagaan dalam komuniti masing-masing.

Maxis dalam kenyataan semalam memaklumkan Anugerah Maxis adalah program perusahaan sosial yang dilancarkan pada tahun lepas untuk mengenali dan menyokong inisiatif Malaysia yang luar biasa yang sumbangannya memberi kesan positif kepada masyarakat.

“Kami sangat teruja untuk mengalu-alukan dua pemenang pertama kami dan harap dapat menyokong projek mereka untuk memberi kesan kepada masyarakat Malaysia dan seterusnya.

“Kami berharap dapat melihat lebih banyak syarikat tempatan menyertai pusingan berikutnya,” kata Ketua Jenama dan Pemasaran Maxis Tai Kam Leong.

Projekt Benih adalah satu inisiatif bagi mengurangkan keruntuhan biodiversiti yang disebabkan oleh kehilangan hutan yang disaksikan di seluruh dunia.

Berbekalkan penyelesaian digital daripada Maxis, Projek Benih ingin menyokong rangkaian tapak semaian percambahannya dalam membawa pokok-pokok ini dari hutan hujan ke pasar runcit bagi menyokong projek pemulihan yang dipimpin oleh masyarakat.

Projek ERTH pula adalah penyelesaian kitar semula elektronik atas permintaan pertama di ASEAN.

“Berbekalkan keupayaan teknologi dan pemasaran Maxis, mereka menyasarkan untuk menggalakkan amalan mengitar semula elektronik dengan sempurna, menggunakan rangkaian Heroes bebas untuk mengumpulkan elektronik lama, terpakai atau tidak diingini dari rumah dan perniagaan di Malaysia.

“ERTH akan membayar ganjaran tunai atau baucar sebagai ganjaran semasa pungutan. Mereka kemudian menggunakan semula, memperbaiki atau mengitar semula elektronik untuk memaksimumkan nilainya,” menurut kenyataan itu.

Pemenang bakal mendapat manfaat daripada penyelesaian digital, perundingan dan promosi yang dibiayai oleh Maxis untuk menghidupkan idea mereka.

Kenyataan itu juga menyebut Anugerah Maxis mencari tiga projek pemenang pada pusingan seterusnya yang akan diumumkan dalam bulan Februari 2022.

Setiap pemenang akan menerima sehingga RM150,000 dalam bentuk penyelesaian Maxis Business seperti Cloud, e-dagang dan IoT (Internet benda); kepakaran teknikal dan geran kewangan untuk membantu memenuhi keperluan operasi inisiatif.

Perusahaan tempatan yang berminat boleh mengemukakan cadangan mulai sekarang hingga 28 Nov untuk projek yang dapat memberi kesan yang signifikan kepada masyarakat dan mendorong perubahan positif.

Untuk maklumat lanjut mengenai Anugerah Maxis dan cara mengemukakan penyertaan, sila layari https://www.maxis.my/maxisawards.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS Wordpress (0) Disqus ( )